Dr Rusdi Omar

KOTA BHARU – Kerajaan disaran mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkepentingan yang sengaja mengelirukan rakyat dan memburukkan kerajaan berhubung isu Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) .

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Peguam Jenayah, Majlis Peguam Malaysia Muhammad Hasif Hasan berkata, isu itu tidak seharusnya dijadikan bahan untuk menimbulkan ketakutan masyarakat sekali gus menyebabkan negara terpaksa menarik diri daripada Statut itu.

“Setiap perjanjian antarabangsa mempunyai kebaikan dan keburukan namun atas kebijaksanaan pemerintah, perkara tersebut akan memberi kesan positif kepada negara.

“Namun yang paling penting adalah jentera kerajaan dan politik yang mendukung kerajaan semasa perlu bijak memainkan peranan dalam memberi penerangan kepada rakyat supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Dr Tun Mahathir Mohamad kemarin bahawa Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom ICC berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, dan bukannya disebabkan Statut itu membahayakan negara.

Dalam pada itu, Dekan, Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Rusdi Omar pula menyifatkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan berhubung perjanjian antarabangsa.

“Setiap ratifikasi mempunyai pro dan kontra masing-masing namun ketika kerajaan Persekutuan pimpinan PH masih lagi belum kukuh, diharap sebarang tindakan dapat dibuat dengan berhati-hati bagi mengelak sebarang tanggapan negatif rakyat dan masyarakat luar terhadap pentadbiran negara,” katanya.

Malaysia, yang menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac, dan menyerahkan surat cara berkenaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama, boleh menarik balik surat cara itu sebelum Jun tahun ini. – MalaysiaGazette