Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Ceramah Pentas Pemuda sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Felda Sendayan, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2019.

PERTARUNGAN di antara Barisan Nasional dengan Pakatan Harapan di DUN Rantau kini telah bermula.

Gendang perang telah dibunyikan menandakan pihak lawan dan
pihak yang melawan perlu bekerja keras untuk memenangi pertarungan.

Bermulalah perang saraf, perang mulut, perang poster dan segala macam perlumbaan yang menghangatkan lagi suasana kempen pilihan raya.

Jika di atas kertas, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau nanti bakal memihak kepada calon daripada BN, Dato’  Seri Utama Mohammad Hassan atau dikenali sebagai Tok Mad.

Ini kerana beliau adalah wakil rakyat yang telah bertapak
di kawasan berkenaan semenjak tahun 2004.

Calon daripada PH, Dr Streram nampaknya perlu melalui jalan yang sedikit sukar kerana beliau tidak begitu dikenali dalam kalangan penduduk DUN Rantau.

Pertembungan Tok Mad dan Dr Streram di DUN Rantau adalah fenomena biasa dalam arena politik negara.

MGF09042019_CALON MELAWAT UNDI AWAL05
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bertembung dengan calon PH, Dr. S. Streram (kiri) ketika mereka meninjau pusat pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Balai Polis Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 09 APRIL

Siapa yang menang, akan menjadi wakil suara penduduk di Rantau, yang tewas pula tetap menjadi pembela rakyat, cuma tidak mendapat gelaran wakil rakyat.

Namun, PRK DUN Rantau perlu dimenangi oleh BN yang diwakili oleh Tok Mad dan bukannya Dr Streram.

Ini kerana, Tok Mad ketika ini memegang jawatan sebagai
Timbalan Presiden UMNO merangkap pemangku Presiden UMNO.

Jika Tok Mat tewas, jawatan beliau di dalam kepimpinan UMNO akan tergugat sehingga mengakibatkan beliau terpaksa melepaskan jawatan yang disandang ketika ini.

Tok Mad juga perlu menang demi memastikan kelangsungan hayat Barisan Nasional.

Ini kerana, beliau telah berjaya memujuk kembali MCA dan MIC untuk terus berjuang bersama Barisan Nasional.

Atas kebijakan Tok Mad, beliau juga berjaya memperkukuh gabungan BN-Pas sebagai blok pembangkang dan Pas ketika ini dilihat lebih mesra BN di bawah pimpinan Tok Mad.

Tok Mad tidak boleh tewas kerana jika perkara ini terjadi, segala perancangan yang diatur untuk Barisan Nasional akan terbantut.

Oleh itu, tidak hairanlah jika jentera Barisan Nasional bertungkus lumus berkempen di sekitar kawasan Rantau.

Misi mereka cuma satu, iaitu mahu memenangkan Tok
Mad dan mengalahkan Dr Streram.

Bersama-samalah nantikan apakah keputusan yang akan diperoleh hasil daripada pertembungan BN yang diwakili parti komponen UMNO manakala PH diwakili oleh parti PKR.

Sama ada Tok Mat menang, atau Dr Streram mampu membuat kejutan, itu adalah keputusan yang akan dibuat oleh pengundi DUN Rantau.

Pilihan di tangan mereka, biarlah penduduk Rantau yang menentukannya.

Syahmi Minhad, pembaca MalaysiaGazette