Tony Pua

KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa menerima satu lagi tawaran tulen daripada firma peguam bagi sebuah syarikat tersenarai di bursa Hong Kong untuk membeli bangunan konsulat Malaysia di Hong Kong pada harga HK$3.21 bilion atau RM1.68 bilion.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua mendakwa, tawaran itu mungkin disebabkan kesan publisiti laporan media daripada kontroversi yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana secara tidak langsung telah buktikan dakwaan-dakwaan beliau seperti di atas sama sekali tidak benar,” sindirnya.

Pua dalam kenyataan hari ini telah mempertikaikan alasan-alasan yang dibuat oleh Ka Siong yang mempersoalkan tawaran pembelian bangunan Malaysia di Hong Kong itu.

“Dr Wee Ka Siong, masih berkeras mahu menegakkan benang yang basah dalam isu penjualan tanah dan bangunan Bangunan Malaysia di Hong Kong.

“Dia yang mencabar, tetapi apabila cabaran beliau disahut dan beliau dihadapkan dengan bukti-bukti kukuh, dia pula yang memberikan seribu satu alasan dan syarat baharu, semata-mata tidak mahu menerima kebenaran.

“Pertama, beliau membuat dakwaan bahawa YB Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, telah melakukan kesalahan yang bodoh dan keliru antara nilai bangunan dalam mata wang Ringgit Malaysia dan Hong Kong dollar. Maka Menteri Kewangan telah menampilkan surat tawaran pembelian daripada pihak di Hong Kong, untuk nilai sebanyak RM1.67 bilion, yang tertera dengan jelas dalam kandungan surat tersebut.

“Adakah beliau menerima bukti tersebut? Tidak, sebaliknya beliau melekeh-lekehkan pihak yang menulis surat tersebut atas alasan-alasan yang dangkal.

“Dr Wee juga meminta Menteri Kewangan buktikan bahawa nilai pasaran semasa untuk bangunan tersebut adalah RM1.6 Bilion. Maka, Menteri Kewangan juga mengeluarkan sepucuk lagi surat tawaran yang bertarikh 7 April 2019, untuk nilai yang lebih tinggi, iaitu RM1.84 bilion.

“Adakah Dr Wee menerima bukti yang telah diberikan ini? Sudah tentu tidak, dan beliau terus bersilat seorang diri dalam usaha untuk menebus maruah beliau,” tambahnya.

Pua mendakwa Ka Siong tidak pernah menjelaskan mengapa beliau dan pentadbiran dahulu bersetuju untuk melakukan penjualan tanah dan bangunan Malaysia secara rundingan terus, walaupun soalan tersebut telah diajukan berkali-kali.

“Apakah ini taktik terkini barisan pembangkang BN-Pas-GPS; hanya berani lempar batu, sembunyi tangan?,” soalnya.

Katanya, rakyat boleh menilai sendiri watak pemimpin-pemimpin barisan pembangkang yang tidak mahu menerima kebenaran, walaupun bukti sudah terletak di hadapan mata.

“Maka tidak hairanlah apabila telah berlaku pelbagai salah-laku dan skandal sewaktu pentadbiran yang lalu yang telah mengakibatkan ketirisan berbilion-bilion ringgit yang sepatutnya digunakan untuk menjaga kebajikan dan hal ehwal rakyat,” katanya sambil memberitahu tender terbuka yang sedang diaturkan dan bukannya rundingan secara terus.

Langkah itu, ujarnya, sudah pasti dapat memberi hasil yang terbaik untuk negara dan juga rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette