Datuk Seri Ismail Sabri. foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2019
Datuk Seri Ismail Sabri. foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mahupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan penyebab Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi semalam.

Sebaliknya, menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ternyata tergesa-gesa dalam meminda RUU berkenaan tanpa memberikan ‘impak’ berkesan dalam mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung.

Jelas Ismail Sabri, RUU itu secara jelas tidak memberi sebarang signifikan yang berkesan kepada masyarakat Sabah dan Sarawak kerana hanya menggariskan dua kategori negeri-negeri Persekutuan.

“Jangan salahkan BN dan GPS. Apa maknanya itu? Seharusnya tujuan pindaan RUU itu untuk memastikan kepentingan Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 seperti perjanjian pembentukan Malaysia dulu.

“Malah pindaan RUU ini sepatutnya di bawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak terlebih dahulu, bincang apa yang perlu terlebih dahulu sebab hakikatnya ini melibatkan kepentingan mereka.

“Tetapi apa yang kami nampak cuma ianya dilakukan dengan tergesa-gesa, itu yang kita nampak semalam, mengapa tidak bawa terlebih dahulu dalam Jawatankuasa Khas seperti yang dicadangkan? Jangan tuding jari salahkan BN atau GPS. Bukan salah kami,” katanya kepada pemberita di lobi hari ini.

Semalam, Presiden PKR yang juga Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan BN dan UMNO kerana berkecuali hingga menyebabkan RUU tersebut gagal diluluskan di Dewan Rakyat.

RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019, tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat semalam kerana kerajaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan.

Seramai 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu, dengan 59 orang berkecuali. Seramai 46 Ahli Parlimen membahaskan usul berkenaan.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi (PH) berkata, tindakan ahli Parlimen pembangkang itu cukup menyedihkan kerana pembentangan RUU itu merupakan peluang keemasan kepada masyarakat di dua negeri tersebut.

“Saya rasa ini keputusan tidak adil dan merugikan rakyat dalam perkara ini. Saya amat sedih kerana ini peluang keemasan untuk kita mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

“Malangnya, mereka ambil keputusan tak undi semata-mata untuk memuaskan agenda politik masing-masing. Selepas ini, saya tidak pasti bilakah lagi kita akan dapat peluang seperti ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette