Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Mohamad Fuzi Harun.

PUTRAJAYA – Beberapa individu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan susulan laporan dibuat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mengesahkan perkara itu berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) untuk menjalankan siasatan segera berhubung perkara itu.

“Kita ada terima laporan daripada pihak Felda. Siasatan sedang dijalankan dan kita akan panggil beberapa individu untuk merekod keterangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamad Fuzi menjawab soalan wartawan berhubung laporan yang mendakwa Felda ditipu dalam urusan jual beli saham syarikat di Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP) pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) berbanding harga sebenar di pasaran pada Disember 2016.

Kelmarin, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar membuat laporan polis di Pejabat Polis Dang Wangi dengan mendakwa bekas perdana menter, Datuk Seri Najib Razak yang juga pada masa itu menteri kewangan telah mengarahkan Felda membuat transaksi melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB) dengan PT Rajawali Corpora.

Othman mendakwa, tawaran membeli EHP yang dimiliki oleh Tan Sri Peter Sondakh, individu yang dikatakan rakan Najib diberikan kepada beberapa agensi termasuk FGV Bhd, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (MRB).

Namun, Felda akhirnya dipaksa membeli dsyarikat itu pada harga melambung melebihi 300 peratus sedangkan nilai pasaran saham pada ketika itu tidak mewajarkan pembelian pada harga sedemikian. – MalaysiaGazette