Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail diiringi Calon PH, Dr. S. Streram (kiri) menyantuni seorang warga emas, Ramlah Silong yang mempunyai masalah mata ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kuala Sawah, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2019.

SEREMBAN – Moral jentera Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berada pada tahap tertinggi ketika tempoh berkempen berbaki sehari, kata presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri, yang menyantuni penduduk pada hari ke-13 kempen PRK berkenaan berkata, masing-masing menunjukkan semangat yang tinggi untuk menawan kerusi berkenaan.

“Nampak gaya memang bagus, tingginya rasa semangat untuk kita sama-sama menangani masalah pilihan raya kecil, sebab ini (PRK) berlaku kerana Dr Streram (calon PH) telah dinafikan hak untuk bertanding pada pilihan raya lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Streram.

Sementara itu ditanya sama ada barisan pemimpin tertinggi PH akan turun pada hari terakhir berkempen esok, beliau berkata ia masih belum diputuskan.

“Tengoklah jadual…sebab esok hari Kabinet dan kita ada kerja-kerja pentadbiran yang kita perlu buat,” katanya.

Dr Wan Azizah, dalam kesibukannya, sempat meluangkan masa menyantuni warga emas dan golongan asnaf dengan menziarahi tiga buah rumah penduduk di Kampung Sega Tengah dan lima buah rumah di Kampung Sega Hilir.

PRK DUN Rantau, Sabtu ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah, R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.- BERNAMA