Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan gerak kerja yang dilakukan oleh jentera Pas di Rantau seolah-olah menunjukkan parti itu yang bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaa.

Presiden Pas berkata, beliau melihat situasi berkenaan ketika membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan semalam.

“Gerak kerja mereka seolah-olah Pas yang bertanding di sini, bertungkus lumus untuk memenangkan calon BN,” menurut Abdul Hadi menerusi hantaran di Facebook.

Malam tadi, Hadi yang juga ahli Parlimen Marang berada sepentas dengan Mohamad yang merupakan Timbalan Presiden UMNO menyampaikan ceramah di Taman Angsana di Rantau.

Turut berada di pentas sama Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, Mohamad Hasan, Dr S. Streram (PH) serta dua calon bebas, R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) terbatal dan tidak sah.

Pada PRU14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan SPR Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRK Rantau dijadual berlangsung esok selepas pengundian awal  diadakan pada 9 April lalu. – MalaysiaGazette