Rafizi Ramli

PRK RANTAU – Rakyat kena mengakui dan menerima hakikat kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru berusia 11 bulan dan masih gagal membentuk satu strategi komunikasi yang baik.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ketiadaan strategi komunikasi yang berkesan itu mengakibatkan banyak isu mengarut ditimbulkan pemimpin serta penyokong pembangkang.

Menurutnya isu-isu mengarut seperti isu perkauman kemudian menjadi bahan yang mempengaruhi pengundi atas pagar.

“Permainan perkauman ini sekarang sudah menjadi senjata UMNO dan Pas di negara ini,” katanya dalam forum bertajuk Melayu Terancam? Melayu kini lawan Melayu Kroni di Bandar Seri Sendayan, Seremban malam tadi.

Forum tersebut diadakan bersama pengundi Rantau sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau yang tinggal kurang 48 jam sahaja untuk hari mengundi pada Sabtu ini.

Dalam forum yang sama, bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga kecewa  terhadap menteri menteri kabinet kerajaan PH yang tidak tahu menjawab bila berhadapan dengan isu.

“Saya nak tegur terus menteri-menteri kita..dia suka tak suka ikut suka kamulah..kita bayar gaji dia, salah satu masalah utama yang menyebabkan naratif perkauman daripada UMNO-Pas ini menjadi agak dominan terutama dalam media sosial dalam masa 10 bulan yang lepas.

“Ini kerana menteri-menteri kita sama ada tidak menjawab dan tidak menerangkan dengan baik atau pun dia buat kerja yang sebabkan kita kena serang,” ujarnya.

Justeru kata Rafizi sebagai menteri, mereka harus pandai menerangkan situasi dan keadaan kepada rakyat dan dibayar gaji untuk itu.

“Kamu dibayar gaji untuk terangkan rakyat dengan baik, kalau kamu tak cari pegawai yang memahami, kalau pegawai tak tahu buat kerja buang pegawai itu cari yang memahami tanggungjawabnya.

“Kalau kerajaan ada masalah dari segi komunikasi dengan rakyat kamu sudah pasti tak boleh terangkan pasal harga barang ke pasal berlian merah jambu oleh Rosmah (Mansor) baru-baru ini, saya tepuk dahi yang itu pun kita tidak berupaya untuk menerangkan kepada rakyat kita,” keluhnya lagi.- MalaysiaGazette