Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang lelaki yang bertindak menghantar pelbagai jenis dadah menggunakan khidmat syarikat penghantar bungkusan di Taman Inderawasih, di Perai di sini pada Rabu kepada rakannya di Jepun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, tindakan lelaki berusia 27 tahun itu berjaya dipintas polis, selepas bungkusan berkenaan dilihat mencurigakan sebelum pekerja di situ memaklumkan kepada pihaknya.

“Sebaik diperiksa, polis berjaya menemui tiga bungkusan aluminium mengandungi dadah iaitu 9.2 gram (g) methamphetamine, 12.8g ketamin dan 20.5g pil erimin 5 dengan kesemuanya di anggarkan bernilai hampir RM4,000,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat pengirim yang terdapat pada bungkusan itu, polis berjaya menjejaki lelaki berkenaan sebelum berjaya menahannya di Jalan Kompleks Perniagaan Utama, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada Khamis.

“Pemeriksaan polis ke atas suspek juga menjumpai kunci rumah dan dokumen urusan penghantaran bungkusan dadah berkenaan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, susulan itu polis kemudian menggeledah rumah lelaki berkenaan di Taman Setia, Alor Setar, sebelum menjumpai dua bungkusan aluminum mengandungi tujuh pil disyaki erimin 5 dengan anggaran berat 1.85g.

Katanya polis juga menemui sepucuk pistol palsu jenama ‘Smith Wesson .38 S. & W.SPL’ dan di dalam kelopaknya mengandungi enam butir peluru disyaki palsu, 50 biji ‘power ball 177 caliber,’ dan empat kotak dengan setiap satu mengandungi lima butir kapsul katrij gas.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku mendapatkan semua bekalan dadah itu daripada dua lelaki masing-masing di Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah dan di Kawasan Queensbay, Bayan Lepas dekat sini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya polis menahan seorang wanita Myanmar berusia 53 tahun, dan merampas 500 biji pil disyaki dadah serta 125 biji pil kuda dan semuanya bernilai RM2,920 dalam serbuan di rumah sewa di Permatang Batu pada Khamis.

Beliau berkata, dalam serbuan pukul 3.30 petang itu, wanita yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah tersebut dipercayai menjual pil-pil tersebut kepada pembeli terdiri daripada rakan senegaranya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis percaya wanita itu terlibat kegiatan berkenaan sejak tahun lepas. Dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette