Azhar Azizan Harun

SENDAYAN – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun tidak tahu sama ada Datuk Seri Mohamad Hasan melakukan kesalahan atau pun tidak berikutan tindakan beliau mendedahkan kertas undinya yang telah dipangkah kepada kumpulan jurugambar pagi tadi.

Azhar berkata, beliau perlu membaca dan meneliti peraturan sedia ada mengenai perkara tersebut seperti yang dibangkitkan oleh Bersih 2.0 yang mahu supaya pihak polis serta SPR mengenakan tindakan terhadap Mohamad.

“Saya pun tak tahu, saya kena baca peraturan dan meneliti betul-betul peraturan mengenai perkara ini,” katanya kepada wartawan selepas SPR mengumumkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau yang dimenangi oleh Mohamad di sini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, apa yang beliau tahu adalah setiap undi itu rahsia yang tidak boleh dipecahkan kepada sesiapa pun.

“Tapi kalau dia sendiri nak pecahkan kerahsiaan itu saya kurang pasti sama ada ia dihalang oleh undang-undang atau tidak,” ulas beliau.

Bersih 2.0 dalam kenyataan berkata, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu boleh mempengaruhi orang lain apabila mendedahkan undinya.

Ia juga boleh memudahkan pembelian dan penjualan undi.

“Adakah dia tidak tahu melanggar kerahsiaan undi adalah satu kesalahan pilihan raya, walaupun undi sendiri, atau dia melakukannya kerana mahu mencabar undang-undang?” soal Bersih. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Tunjuk kertas undi: Bersih mahu Tok Mad dikenakan tindakan