Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kemalangan jalan raya di negara ini adalah punca utama keempat menyebabkan kematian rakyat sepanjang tahun 2017.

Ia merupakan punca utama selepas penyakit jantung, pneumonia dan angin ahmar, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia sekaligus menambah lagi cabaran Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai agensi bertanggungjawab mengawal selia hal ehwal demi kelestarian keselamatan jalan raya.

Katanya, tiga skop utama tanggungjawab JPJ yang terdiri daripada elemen kenderaan, pemandu dan lalu lintas menjadikan JPJ berupaya untuk mencorakkan dan memberikan impak yang besar terhadap keseimbangan sosio-ekonomi negara.

“Jika kita imbas ke belakang sehinggalah ke hari ini, tugas dan tanggungjawab JPJ sentiasa bertambah setiap tahun misalnya, jumlah kenderaan terkumpul pada tahun 2010 adalah 20.18 juta buah kenderaan tetapi meningkat sebanyak 47 peratus kepada 29.67 juta buah kenderaan sehingga tahun 2018.

“Ini bermakna tugas mengendalikan hal ehwal pelesenan kenderaan juga bertambah sejajar dengan peningkatan bilangan kenderaan.

“Begitu juga dengan bilangan pemandu-pemandu yang dilesenkan oleh JPJ menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus dalam tempoh kurang dari lapan tahun iaitu daripada 12.24 juta orang dalam tahun 2010 kepada 16.5 juta orang pada tahun 2018.

“Peningkatan jumlah pemandu ini dengan sendirinya meningkatkan urusan yang berkaitan pengujian dan lesen memandu serta tugas penguatkuasaan ke atas pemandu-pemandu yang tidak mematuhi peraturan dan sebagainya,” katanya lagi dalam ucapan sambutan Hari JPJ Ke-73 di sini.

Statistik Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) juga menunjukkan kemalangan jalan raya merupakan ancaman yang besar kepada dunia apabila kemalangan maut jalan raya berada di tangga kelapan pada tahun 2016 berbanding di tangga ke-10 pada tahun 2010.

Menurutnya, kemalangan maut ini telah mengorbankan 1.4 juta orang di seluruh dunia yang mana 74 peratus daripadanya lelaki.

“Selain itu, berdasarkan kepada statistik kemalangan pada tahun 2018 yang telah dikeluarkan oleh PDRM pula, jumlah terkumpul kematian akibat kemalangan jalan raya adalah sebanyak 6,284 kematian berbanding tahun 2017 iaitu seramai 6,740 kematian iaitu penurunan sebanyak -6.77 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pun begitu, indeks kematian akibat kemalangan jalan raya turun sedikit, namun yang amat membimbangkan kita apabila peratusan tertinggi disumbangkan adalah daripada kalangan penunggang motosikal iaitu sebanyak 65.7 peratus.

“Angka peratusan ini perlu untuk kita teliti dan memandang serius dengan mewujudkan mekanisme yang berkesan bagi mempertingkatkan lagi kesedaran pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal terhadap keselamatan di jalan raya,” ujarnya.

Selain itu, menurut Anthony, pengeluaran kereta tanpa pemandu yang sudah berada di pasaran dunia juga menambah cabaran menghadapi dunia teknologi menjamin keselamatan pemandu.

Beliau juga mengakui tidak mustahil pada suatu masa akan datang nanti, pemandu tiada lagi wujud namun kenderaan akan 100 peratus dikendalikan oleh robot secara automatik.

Ia dikatakan cabaran JPJ dalam memastikan kelestarian keselamatan jalan raya sentiasa terpelihara walau kemodenan dan kecanggihan teknologi meresap masuk ke sektor pengangkutan jalan.-MalaysiaGazette