Polis mengesahkan serpihan tulang yang dijumpai di Gua Kandu, Gopeng, Perak pada Sabtu ialah tulang manusia.
TASEK GELUGOR – Polis kini menyiasat kematian sepasang suami isteri yang mayat mereka ditemukan di dalam bilik sebuah rumah yang disewa mereka di Jalan Pokok Machang, di sini, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini.

Katanya mayat suami isteri yang berusia 27 dan 31 tahun itu ditemukan pemilik rumah berkenaan kira-kira 9.20 pagi selepas mendapati motosikal mereka masih berada di hadapan rumah sedangkan pasangan tersebut sepatutnya keluar bekerja.

“Siasatan awal kami mendapati wanita itu mungkin mati disebabkan minum racun dan mayatnya ditemui atas katil manakala suaminya dalam keadaan tergantung pada alang rumah di bilik mereka,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti penuh kedua-dua si mati dan pemeriksaan awal setakat ini tidak menemui sebarang unsur jenayah pada mayat atau lokasi kejadian dan siasatan lanjut masih di jalankan.

Menurutnya siasatan akan turut melibatkan kedudukan kewangan dan isu-isu peribadi yang dihadapi pasangan sebelum ini dan kedua-dua mayat telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.

— BERNAMA