Isteri Menteri Pertahanan, Normah Alwi diberi penghormatan merasmikan pelancaran dan penamaan kapal LMS TLDM di Wuhan, China.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tampil menjelaskan isu isteri Menteri Pertahanan, Normah Alwi menyempurnakan upacara pelancaran dan penamaan kapal LMS pertama di Wuhan, China.

Dalam satu kenyataan di sini, TLDM memaklumkan bahawa amalan tersebut merupakan satu istiadat tradisi yang diamalkan selama ini oleh sayap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

“Upacara pelancaran dan penamaan kapal LMS pertama TLDM yang telah
disempurnakan oleh isteri kepada Menteri Pertahanan, Normah Alwi di Wuhan, China semalam merupakan upacara tradisi yang diamalkan selama ini oleh TLDM.

“Gelaran “Lady Sponsor” kepada isteri Menteri Pertahanan adalah perkara yang biasa dilaksanakan” demikan menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan tiga mukasurat itu menerangkan bahawa istiadat itu merupakan upacara tradisi yang telah dilaksanaka sejak Royal Navy (Tentera Laut Diraja Malaysia) ditubuhkan.

Malah, ia telah disesuaikan dengan syariat Islam dan adat ketimuran Malaysia.

“Bagi kapal-kapal yang dinamakan sempena nama negeri, isteri atau wanita yang berkaitan dengan negeri tersebut akan dipilih.

“Sebagai contoh, KD KEDAH telah dinamakan oleh Puteri Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Datuk Seri Tengku Puteri Intan Safinaz.

“Bagi kapal-kapal yang dinamakan sempena nama Pahlawan, wanita kepada waris nama tersebut atau wanita kenamaan dari negeri tersebut akan dipilih.

“Sebagai contoh, kapal Littoral Combat Ship (LCS) 1 iaitu MAHARAJALELA telah dinamakan oleh Raja Permaisuri Perak,” demikan jelas TLDM

MalaysiaGazette awal hari ini melaporkan Normah Alwi merupakan salah seorang perasmi kapal perang negara di Wuhan, China bersama-sama Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany; Pengarah Boustead Heavy Industry Corporation (BHIC), Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali (Bersara); pihak pengurusan China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) serta China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC). -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: