Sebuah kenderaan terbalik selepas negeri-negeri di selatan Amerika dilanda ribut dan puting beliung. foto Agensi

NEW YORK – Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan berpuluh-puluh yang lain cedera selepas ribut melanda dan mencetuskan puting beliung dan bandir di beberapa negeri di selatan Amerika Syarikat.

Di Texas, dua kanak-kanak masing-masing berumur lapan dan tiga tahun mati selepas pokok menghempap bahagian belakang kereta yang dinaiki oleh keluarga mangsa.

Polis memberitahu, kereta yang dinaiki oleh mangsa-mangsa itu remuk teruk, bagaimanapun ibu bapa mereka selamat.

Kematian juga dilaporkan berlaku di seluruh Mississippi, Texas dan Louisiana.

Usaha menyelamat mangsa-mangsa yang cedera sukar selepas jalan-jalan raya runtuh.

musnah
Sebuah kediaman musnah selepas negeri-negeri di selatan Amerika dilanda puting beliung. foto Agensi

Pihak berkuasa mengatakan sekurang-kurangnya 11 tornado berlaku di tiga negeri itu sebelum ribut mulai bergerak ke arah Pantai Timur.

Amaran puting beliung pada hari Isnin telah dikeluarkan di Ohio, selatan Carolina dan Virginia.

Di Alto, Texas, seorang terbunuh dan kira-kira 12 orang lagi cedera selepas puting beliung yang disyaki melanda ketika acara kebudayaan Orang Asli diadakan.

Franklin, Texas pula rosak teruk dengan hampir 60 bangunan terjejas termasuk bangunan awam dan 55 buah kediaman.

Di Hamilton, Mississippi, juga menyaksikan kediaman musnah, juga balai bomba komuniti.

“Kami juga terjejas. Balai bomba kami sudah tiada,” kata seorang ahli bomba.

Di Monroe County, Mississippi, seorang lelaki berusia 95 tahun yang dikenal pasti sebagai Roy Ratliff maut selepas kediaman bergeraknya dihempap pokok.

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun pula dilapor mati lemas selepas berlaku banjir kilat di Bawcomville, Louisiana.

Dekat Birmingham, Alabama pula seorang pekerja terbunuh akibat dilanggar oleh sebuah kenderaan ketika sedang membersihkan pokok-pokok di atas jalan raya.

Angin kencang yang bergerak ke arah timur telah menyebabkan pengembaraan terganggu di New York, New Jersey dan Pennsylvania. – MalaysiaGazette