Murid-murid Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buaya, Rawang yang menyertai program Say It Right pada tahun 2019.

KUALA LUMPUR – Semuanya bermula secara suka-suka tiga tahun lalu selepas tertarik dengan keterbukaan guru besar yang meminta kerjasama ibu bapa membantu sekolah untuk bersama-sama meningkatkan kecemerlangan murid-murid.

Saranan guru besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buaya, Rawang, Suzanah Md Amin itu disahut oleh Mimi Azrin Abu Bakar.

Ini kerana, beliau percaya kerjasama padu ibu bapa dan sekolah pasti akan membawa kejayaan berganda jika ia dilakukan bersama-sama.

WhatsApp Image 2019-04-08 at 14.38.21
Peserta-peserta Say It Right yang dibahagikan dalam kelompok kecil.

 

Bertitik-tolak dari situ, Mimi Azrin bersama dua rakannya, Syariza-Annur Idris dan Muhammad Ikhwan Akmal Mohd Yusoff sepakat untuk berganding bahu, berkongsi pengalaman dan ilmu untuk bersama-sama membimbing murid-murid sekolah itu dalam memperkasakan bahasa Inggeris.

Di situlah lahirnya program Say It Right.

Program itu mahu melahirkan murid-murid yang beryakinan tinggi dalam berkomunikasi dan berinteraksi menggunakan  bahasa Inggeris.

“Objektif kami mahu melahirkan anak-anak yang ada keyakinan pada diri sendiri, boleh berkomunikasi, mampu berinteraksi tanpa rasa malu, tidak takut, apatah lagi was-was.

WhatsApp Image 2019-04-14 at 23.59.39
Berbincang dengan rakan antara modul yang diperkenalkan dalam program Say It Right.

“Sebab itulah pengucapan awam menjadi fokus Say It Right,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Program itu mengetengahkan aktiviti-aktiviti komunikasi termasuk berucap, bual bicara, wawancara, drama, pengucapan berirama dan sebagainya.

Setiap murid dibimbing berdasarkan kebolehan dan keupayaan mereka.

Katanya, kali pertama program itu diperkenalkan pada tahun 2016, ia disertai oleh 40 orang murid-murid Tahun 5.

Menariknya, kata Mimi Azrin, mereka yang menyertai program itu adalah sukarela.

WhatsApp Image 2019-04-15 at 22.05.34
Murid-murid diajar bercakap di atas pentas dalam program Say It Right.Beliau sendiri tidak sangka program itu berjaya menarik 40 orang murid, sekali gus menaikkan semangat tenaga pengajar sukarela.

Beliau berkata, program yang dimulakan pada tahun 2016 itu hanya mengambil masa 10 minggu sahaja.

Meskipun begitu, program tersebut berjaya mentransformasi murid-murid yang sukar ‘membuka mulut’ kerana sikap malu,  tiada keyakinan dan sukar bergaul akhirnya melepasi ketakutan dan masalah itu.

“Bagi kami ia adalah satu kejayaan apabila murid-murid sendiri bersungguh-sungguh melakukan perubahan pada diri sendiri,” ujarnya yang mendapat kerjasama baik dalam kalangan ibu bapa.

WhatsApp Image 2019-04-14 at 23.59.39 (1)
Antara aktiviti yang dijalankan oleh murid-murid SK Sungai Buaya yang menyertai program Say It Right.

Lebih membanggakan apabila ada murid yang paling pendiam dan kurang berinteraksi mampu membawa karakter penting dalam sebuah drama yang dipentaskan pada akhir program tersebut.

Susulan kejayaan program itu, Mimi Azrin bersama-sama dua lagi pengasas bersama Say It Right menggembleng tenaga untuk meneruskannya lagi pada tahun ini.

Cuma bezanya pada tahun ini, tumpuan mereka kepada murid-murid Tahap Satu.

“Kami mahu meneroka potensi anak-anak ini dari awal supaya dapat digilap pada peringkat seterusnya,” kata yang merupakan  graduan Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara.

WhatsApp Image 2019-04-09 at 19.46.31
Mimi Azrin (berdiri kanan) bersama pengasas bersama Say It Right, Muhammad Ikhwan Akmal dan Syariza-Annur

Program Say It Right pada tahun ini akan diadakan setiap Sabtu bermula jam 8.30 hingga 11.30 pagi dan akan berlangsung sehingga Julai ini.

Pada tahun ini, seramai 50 orang murid sekolah berkenaan sudah pun menyertai program berkenaan.

“Teknik dan bimbingan yang sama akan diguna pakai kepada Tahap Satu namun cara penyampaian disesuaikan dengan usia mereka,” kata Mimi Azrin yang gembira kerana berpeluang berkongsi ilmu dengan kanak-kanak sekolah.

Pencapaian setiap para pelajar akan dinilai sepanjang mereka mengikuti progam tersebut untuk menentukan persembahan yang sesuai pada akhir program

“Apa yang diharapkan pencapaian kami pada tahun ini lebih baik,” katanya sambil mengucapkan terima kasih di atas peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh sekolah, guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. – MalaysiaGazette