Daim Zainuddin
Daim Zainuddin

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) — Tun Daim Zainuddin menzahirkan keyakinan bahawa harga projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang telah dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion kepada RM44 bilion, kemungkinan besar boleh diturunkan lagi.

Beliau berkata perkara itu serba mungkin sebaik sahaja pakar pembinaan rel di Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd membincangkan butiran teknikal projek infrastruktur gergasi itu.

Awal minggu ini, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersetuju membentuk syarikat usaha sama (JV) 50:50 untuk pengendalian, pengoperasian dan penyelenggaraan rangkaian rel ECRL.

Kos projek juga mungkin dapat dikurangkan lagi berikutan “kami akan memohon jumlah pinjaman lebih rendah, serta perlanjutan tempoh dan jadual pembayaran, daripada Bank China-Exim berikutan kosnya sudah dikurangkan,” kata Daim kepada Bernama News Channel (BNC) dan Perkhidmatan Berita Ekonomi dalam temu bual eksklusif hari ini.

Daim, yang juga pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), telah diminta oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengetuai pasukan ke Beijing, sejurus selepas kejayaan kerajaan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum tahun lepas, untuk merundingkan semula projek ECRL.

“Kami akan merundingkan jumlah yang agak besar (pengurangan), sekurang-kurangnya minimum kira-kira RM30 bilion.

“Ini adalah pada fasa akan datang rundingan kami kerana kami tidak mahu terikat dengan perjanjian tambahan baharu bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC).

“Jadi, RM21.5 bilion itu sebenarnya penjimatan minimum yang kami peroleh menerusi rundingan semula kontrak ECRL. Kami harap untuk kembali pada minggu depan dengan malah lebih banyak berita baik untuk rakyat,” katanya.

Rundingan

Daim telah berjaya mengendalikan rundingan semula bagi perjanjian tambahan yang telah mengurangkan kos sebanyak 32.8 peratus atau RM21.5 bilion daripada harga asal berjumlah RM65.5 bilion yang dimeterai oleh pentadbiran terdahulu di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya CCCC turut menunaikan komitmennya untuk memulangkan sebahagian pembayaran pendahuluan RM3.1 bilion di bawah kontrak asal bagi Fasa 2, landasan berkembar dan perluasan projek ECRL ke utara apabila ia memulangkan RM500 juta hari ini, dan RM500 juta lagi dalam tempoh sebulan bagi bayaran balik sepenuhnya sebanyak RM1 bilion.

Pengerusi CEP itu berkata kejayaan dalam rundingan semula bagi perjanjian tambahan dan penyambungan semula projek ECRL turut meningkatkan keyakinan pelabur dalam kalangan syarikat China untuk datang dan melabur di Malaysia yang akan membabitkan berbilion ringgit.

Beliau berkata perjanjian itu juga merupakan insentif bagi CCCC dan pelabur China yang lain untuk mengkaji pelaburan lain di Malaysia yang dapat meningkatkan pemanfaatan ECRL.

“Jadi, kami jangka terdapat lebih banyak pelaburan langsung asing, bukan sahaja daripada China, tetapi juga daripada domestik dan sumber antarabangsa yang lain, di Pantai Tmur dan sepanjang laluan rel.

“Oleh kerana ECRL akan hanya siap pada akhir 2026, kami yakin tempoh itu akan membolehkan pelaburan lain disiapkan supaya wujud daya maju lebih hebat di sepanjang laluan rel apabila sebaik sahaja ECRL berfungsi,” katanya.

Daim turut menjelaskan perjanjian tambahan bagi ECRL termasuk landasan berkembar bagi keseluruhan laluan rel sepanjang 640 kilometer.

“Mereka yang menyatakan kos baharu sebanyak RM44 bilion itu mempertaruhkan ciri tertentu seperti landasan berkembar telah berbohong. Ia semudah itu,” katanya.

Kepada pihak tertentu yang berhujah bahawa ECRL akan berakhir sebagai projek gajah putih, dengan kadar penumpang dan muatan kargo rendah, Daim berkata pembinaan projek infrastruktur awam biasanya mengambil masa yang lama sebelum dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan “kami sedar akan perkara itu”.

“Sebab itu kenapa dalam rundingan kami dengan China, kami turut memasukkan memorandum persefahaman bagi pengendalian, pengoperasian dan penyelenggaraan (MOM) ECRL. Di bawah perjanjian asal, Malaysia sendirian perlu menampung kos MOM dari awal. Dengan mendapatkan CCCC untuk menampung separuh kosnya bagi 20 tahun pertama operasi, kami jangka dapat menjimatkan kira-kira RM4 bilion,” katanya.

Daim berkata ECRL akan membawa manfaat kepada sektor pembinaan kerana sudah ada RM44 bilion yang merupakan jumlah yang banyak, dengan mengambil kira bahawa 40 peratus akan diperuntukkan bagi kandungan tempatan.

— BERNAMA