Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tiga kanan) ditemani isterinya, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali (empat kiri), Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (tiga kiri) dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar pada Sambutan Hari Bumi@Taman Tugu di Taman Tugu Nursery, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR- Kerajaan belum membuat keputusan untuk membayar pampasan kepada mana-mana negeri berhubung pengambilan kawasan hutan simpan dan hutan rizab hidupan liar sebagai kawasan tadahan air.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, mesyuarat kabinet semalam mendapati ada beberapa jalan lain yang boleh dipertimbangkan selain bayaran pampasan kepada kerajaan negeri.

Ini merangkumi pelan penanaman hutan dan industri perhutanan yang akan diteruskan sebagai salah satu ekonomi baharu.

“Semua negeri mahu pampasan tetapi kami berminat terhadap program pembalakan baharu.

“Saya rasa kerajaan negeri patut mengambil peluang sepenuhnya daripada program ini bagi meningkatkan ekonomi masing-masing dari hasil perhutanan dan pembalakan.

“Ia merupakan model perniagaan yang bagus” katanya kepada pemberita selepas program Hari Bumi @ Taman Tugu di sini hari ini.

MGF20042019_SAMBUTAN HARI BUMI_12
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Xavier Jayakumar bercakap kepada media pada Sambutan Hari Bumi@Taman Tugu di Taman Tugu Nursery, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 APRIL 2019

Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Hasmah Mohd. Ali.

Tegas Xavier, kerajaan pusat mahu semua kawasan tadahan air dan zon penampan di antara kawasan tersebut dengan hutan dilindungi dan diwartakan.

Katanya, kerajaan persekutuan akan memastikan kawasan-kawasan berkenaan tidak diceroboh.

Baru-baru ini, kerajaan Negeri Pahang membuat permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan pampasan sebanyak RM17.1 bilion.

Ini selepas kerajaan pusat menjadikan bagi kawasan hutan simpan dan hutan rezab hidupan liar di negeri itu sebagai kawasan tadahan air untuk mensejahterakan rakyat luar dari Pahang.

Selain itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Empangan Kelau juga terpaksa ‘dikorbankan’ untuk membekalkan air menerusi projek pemindahan air mentah Pahang Selangor, kerajaan negeri kerugian hasil pembalakan, mineral, premium tanah sawit dan cukai tanah melibatkan kawasan seluas 33,000 hektar.- MalaysiaGazette