Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Yb Khalid Abdul Samad berucap pada Majlis Sepetang Bersama Pucuk Pimpinan Parti Amanah Negara di Summit Hotel KL City, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Walaupun sejak berbulan-bulan isu bakal berlakunya penggulingan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu namun sehingga kini ia dianggap tidak lebih sekadar khabar angin.

Malah Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata perkara itu tidak berlaku sebaliknya itu hanya cubaan barisan pembangkang menimbulkan kacau bilau di Perak.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut mendedahkan sehingga kini isu pertukaran atau penggulingan itu tidak pernah sekalipun dibincangkan dalam Majlis Presiden mahupun mesyuarat kabinet.

Jelasnya, setakat ini, beliau masih belum mendengar atau menerima perkhabaran secara rasmi berkenaan isu pertukaran Menteri Besar Perak secara rasmi.

“Sebenarnya, isu ini anda kena tanya kepada pimpinan Perak sebenarnya tetapi apa yang saya boleh katakan ialah kita tidak ada apa-apa masalah.

“Kita jangan dengar atau tengok sangat berita-berita yang di sebarkan oleh media sosial sebaliknya saya minta semua ahli bertenang dan sentiasa menyemak sendiri dengan merujuk kepada pimpinan tertinggi.

“Perlu sedar pihak lawan rajin sangat sebarkan berita serta fakta tidak benar dengan tujuan timbulkan keresahan, kacau bilau dan sebagainya dalam kalangan ahli.

“Kita sehingga kini tidak pernah berbincang langsung isu ini, dalam Majlis Presiden tidak, ketika mesyuarat kabinet juga tidak jadi pada tanggapan saya ini adalah berita tidak benar dan tidak akan berlaku sama sekali.

“Isu yang di timbulkan ini tidak menjadi realiti walaupun Kita tiada majoriti mantap tetapi cukup. Tolong jangan percaya apa yang di sebarkan dalam media sosial,” katanya selepas menghadiri majlis ‘Sepetang Bersama Pimpinan Amanah’ di sini petang tadi.

Pada Khamis, Exco Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains Dan Alam Sekitar Perak, Abdul Aziz Bari menafikan suaranya terkandung dalam rakaman audio yang tular mengenai kritikan ke atas prestasi Menteri Besar Perak.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu, penularan itu diibaratkan sebagai sembang kedai kopi dan tidak berasas.

Akhir-akhir ini, timbul isu berkaitan krisis pertukaran Menteri Besar Perak dan pergolakan dalaman yang dihadapi pimpinan PH Perak. – MalaysiaGazette