Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KOTA BHARU – Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mendedahkan nama pemimpin PAS yang didakwa menerima dana RM90 juta dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah sesuatu yang tidak akan berlaku.

Ahmad Fadhli yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas berpendapat Anwar tidak akan membuat pendedahan itu buat selama-lamanya berdasarkan tiada sebarang bukti yang boleh merujuk kepada mana-mana pemimpin PAS.

“Saya percaya tujuan beliau membangkitkan isu ini adalah bertujuan untuk menarik semula perhatian kepada PKR selain mengalih tumpuan masyarakat terhadap kegagalan PKR untuk menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, baru-baru ini,” katanya.

Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson dalam sebuah forum di Nilai, Negeri Sembilan, Jumaat lepas mendakwa mengetahui jumlah dana yang diterima pemimpin PAS dan identiti penerima serta akan mendedahkannya dalam masa terdekat.

Kenyataan Anwar itu juga mendapat reaksi daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang mengalu-alukan pendedahan yang bakal dilakukan oleh Anwar itu.- BERNAMA