Saksi yang juga Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Hafizam Hasmi.

SHAH ALAM – Permohonan untuk memanggil semula Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi menjadi perbualan hangat hari ini menerusi prosiding penghujahan alasan permohonan dan bantahan di Mahkamah Koroner.

Ahmad Hafizam sebelum itu merupakan saksi ke-24 inkues yang sama.

Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni Khairuddin yang mengemukakan permohonan itu demi memberi penjelasan terhadap keterangan saksi ke-29 yang merupakan bekas Pakar Forensik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr Shahrom Abdul Wahid.

“Saksi ke-24 ini penting sebab kami masih boleh tanya soalan yang akan membantu mahkamah menilai keseluruhan keterangan dalam inkues dan untuk mencari keadilan yang sewajarnya”, ujar beliau kepada Koroner Rofiah Mohammad.

Faten dalam sesi hujahan berkata, keperluan untuk memanggil semula itu penting ekoran terdapat dua pendapat yang berbeza oleh pihak saksi pakar berhubung mechanism kecederaan yang dialami Muhammad Adib.

Bagaimanapun peguam mewakili Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansor membidas dan menyifatkan tindakan itu sebagai satu perkara yang membuang masa.

“Pihak kami telah diberi peluang untuk tanya apa sahaja soalan berhubung keraguan berdasarkan laporan bedah siasat kepada pakar dan kami telah dapat jawapan.

“Saya percaya sekiranya saksi (24) dipanggil semula untuk menyangkal keterangan saksi (29) perkara ini tiada penghujungnya dan saksi akan ulang perkara sama jadi bila nak habis?” soalnya.

Tambahnya, Mahkamah Koroner tidak sepatutnya memanjangkan isu berkenaan perbezaan pendapat berkenaan punc kematian allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

“Semua saksi pakar kita dah panggil dan beri peluang untuk jawab dan jelaskan keterangan mereka dan ia sudah mencukupi jadi apa keperluan nak panggil semula?” katanya lagi.

Syazlin turut menyifatkan tindakan Faten itu sebagai memihak kepada saksi ke-24 yang dipanggil semula bertujuan menyangkal keterangan saksi ke-29 dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Sebelum ini, terdapat dua perbezaan pendapat berhubung teori kecederaan Muhammad Adib antara kedua-dua saksi pakar fotensik berkenaan.

Koroner Rofiah Mohammad setelah mendengar hujahan kedua-dua belah pihak menetapkan esok (Selasa) sebagai tarikh keputusan terhadap permohonan pasukan Pegawai Pengendali kes itu.

Sebelum itu, keberadaan Hafizam bersama-sama pasukan Pegawai Pengendali kes ketika saksi ke-29 memberi keterangan telah dipertikaikan.-MalaysiaGazette