Saksi yang merupakan pemilik syarikat Syadillah Enterprise, Daus Muhammad ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR, – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membayar wang sebanyak RM67,000 kepada seorang kontraktor bagi membina dua menara tangki air di kediamannya di Pekan, Pahang, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Kontraktor syarikat binaan Syadilah Enterprise, Daud Muhammad, 53, yang bertanggungjawab membina menara tangki air itu, berkata Najib membuat bayaran melalui cek.

“Pada tahun 2013, saya membuat sebut harga kepada penyelia rumah Datuk Seri Najib iaitu Encik Zainudin Abdul Aziz di Pekan.

“Pada tahun 2014, Zainudin menyatakan pada saya kerja-kerja boleh dilakukan, iaitu membina menara tangki air dua buah, satu tiga tingkat, satu lagi dua tingkat,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada hari keenam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang membabitkan Najib.

Daud, yang merupakan saksi kelapan pendakwaan, berkata pembinaan kedua-dua menara mengambil masa kira-kira tiga bulan kerana ketika itu musim hujan.

Daud, yang juga pemilik syarikat pembinaan itu, berkata menara tangki dua tingkat dibina berhampiran dapur kediaman Najib manakala menara tangki tiga tingkat dibina berhampiran bilik tidur beliau dan anak-anaknya.

Menjawab soalan Muhammad Saifuddin adakah saksi itu menjalankan kerja lain di kediaman Najib, Daud berkata beliau turut melakukan pendawaian elektrik, membaiki pendingin hawa dan atap bocor serta membaik pulih tombol pintu dan singki dapur yang berharga RM10,300.

Saksi itu berkata selepas semua kerja selesai, beliau telah mengeluarkan invois kepada Zainudin untuk memaklumkan kos pembayaran.

“Ya, saya bagi invois, harga RM67,000 bagi dua menara tangki air, RM9,540 bagi pendawaian elektrik, membaiki penghawa dingin dan atap bocor serta RM760 bagi kerja membaik pulih tombol pintu dan singki dapur,” katanya sambil menambah Zainudin kemudian mengeluarkan tiga keping cek kepada beliau.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu berkata kapasiti tangki dua tingkat ialah 1,500 liter manakala tangki tiga tingkat berkapasiti 3,000 liter dan jumlah air dalam kedua-dua tangki boleh menampung keperluan kira-kira 1,000 orang.

Ketika ditanya apakah keperluan membina kedua-dua menara tangki air itu, Daud berkata ia bagi menampung keperluan orang ramai dan untuk kegunaan keluarga Najib.

Mengulas apa yang berlaku kepada tangki lama, Daud berkata ia telah usang dan sering dibaiki termasuk pam rosak serta tangkinya pernah dimasuki musang yang kemudian ditemui mati dalam tangki itu.

Kepada soalan Muhammad Shafee sama ada pembinaan tangki tersebut adalah satu keperluan mendesak atau satu kemewahan, saksi itu menjawab “keperluan mendesak.”

Selain itu, Daud memberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapannya sebanyak dua kali berhubung kerja pembinaan yang dijalankan di kediaman Najib.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.

— BERNAMA