Iran terus menerima tekanan ke atas import minyaknya oleh Amerika Syarikat. foto AGensi

WASHINGTON – Semua pengimport minyak Iran perlu mengakhiri import mereka atau berdepan dengan sekatan Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat mengenakan semula sekatan pada bulan November selepas Presiden Donald Trump secara unilateral menarik balik Perjanjian Nuklear 2015 antara Iran dan enam kuasa dunia.

Washington berbuat demikian bagi memberi tekanan ke atas Iran supaya mengurangkan program nuklearnya dan menghentikan sokongan kepada kumpulan pemberontak di Timur Tengah.

Bersama dengan pelaksanaan semula sekatan itu, Washington juga memberikan pengecualian kepada lapan ekonomi yang telah mengurangkan pembelian minyak dengan Iran.

Negara-negara itu ialah China, India, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Turki, Itali dan Greece.

Tetapi pada hari Isnin, Setiausaha Negara, Mike Pompeo dijangka mengumumkan bahawa pada 2 Mei ini, Jabatan Negara tidak akan memberi pengecualian kepada mana-mana negara yang kini mengimport minyak dari Iran.

Rabu lalu, Penolong Setiausaha Amerika Syarikat bagi Sumber Tenaga, Frank Fannon memaklumkan bahawa negara itu akan mengakhiri eksport Iran secepat mungkin.

Baru-baru ini, jurucakap presiden Turki, Ibrahim Kalin berkata, Turki menjangka Amerika Syarikat akan melanjutkan pengecualian yang diberikan kepada Ankara untuk meneruskan pembelian minyak dari Iran tanpa melanggar sekatan.

Turki tidak menyokong dasar sekatan Amerika Syarikat ke atas Iran dan tidak menganggap ia akan menghasilkan situasi yang diinginkan, kata Kalin kepada wartawan di Washington.

Washington melaksanakan kempen ‘tekanan ekonomi maksimum’ terhadap Iran dan melalui sekatan-sekatan, akhirnya untuk menghentikan eksport minyak Iran dan dengan itu menjejaskan sumber pendapatan utama Tehran. – MalaysiaGazette