Dua ekor anjing diletakkan di atas meja di siar kaki di luar kedai pada satu sudut yang terlindung daripada pandangan pekerja.

KUCHING – Macao Imperial Tea memohon maaf selepas gambar menunjukkan dua ekor anjing diletakkan di atas meja kafe itu di Kuching, Sarawak muncul dalam Internet.

Pihak kafe juga berharap pemilik haiwan berkenaan meminta maaf atas apa yang dilakukannya.

Pengendali kafe berkata, kejadian itu berlaku di meja yang terletak di siar kaki di luar kedai pada satu sudut yang terlindung daripada pandangan pekerja.

Katanya, semasa kejadian itu berlaku, pekerja kedai juga tengah kesibukan yang menyebabkan mereka terlepas panjang apa yang berlaku.

“Jika pekedai melihat apa yang berlaku, mereka pasti akan memberi teguran.

“Pihak kedai juga telah menampalkan notis larangan haiwan kesayangan sejak tiga bulan lalu selepas mendapati ada orang yang membawa anjing untuk bersiar-siar di satu tempat berhampiran sering berehat di kawasan premis kami,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya, walaupun notis ditampalkan, tetapi masih terdapat pemilik haiwan kesayangan yang berdegil dengan duduk di kawasan kedai manakala anjing mereka diletakkan di lantai di kawasan siar kaki yang terlindung.

“Apabila ditegur oleh pekerja, mereka akanĀ  berdalih bahawa kehadiran mereka adalah untuk sekejap sahaja,” katanya.

Menurutnya, para pelanggan dinasihatkan untuk menghormati orang lain khususnya kaum Melayu dengan tidak membawakan haiwan kesayangan ke dalam kedai.

Satu gambar yang muncul dalam Facebook menunjukkan dua ekor anjing diletakkan di atas meja kafe oleh pemiliknya, perbuatan yang dianggap kurang sensitif terhadap keperluan orang lain. – MalaysiaGazette