Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Firma konsultan, Vital Spire Sdn Bhd. mengakui menerima dana untuk mengendalikan portal MalaysianDigest.com.

Pengasas firma itu yang juga saksi ke-16 kes pendakwaan Datuk Seri Najib Razak iaitu Onn Hafiz berkata, tujuan portal itu ditubuhkan adalah bagi menyebarkan berita kepada pembaca.

Beliau yang juga ahli politik memberitahu, arahan untuk menjalankan portal itu datang daripada Najib dan mengesahkan Vital Spire melalui akaun CIMB di Bukit Damansara menerima cek bernilai RM240,000 daripada bekas Perdana Menteri itu pada tahun 2015.

“Saya telah memegang saham syarikat sejak tahun 2004 dan kami adalah syarikat perundingan terutamanya dalam mengendalikan kursus motivasi dan kepimpinan

“Ia juga menyediakan khidmat nasihat yang jadi teras perniagaan kami,” katanya kepada Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi di Mahkamah Tinggi di sini hari bagi kes perbicaraan Najib yang memasuki hari ke tujuh.

Namun ketika disoal balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Onn sempat ditenangkan oleh peguam bela itu selepas saksi tersebut kelihatan sedikit gugup.

“Jangan risau, jawab dengan jujur,” kata Shafee.

Ditanya apakah hubungan portal itu dengan Vital Spire, Onn memberitahu semua perbelanjaan yang melibatkan MalaysianDigest dibayar melalui syarikatnya.

Onn turut mengakui beliau pemilik portal itu namun ia tidak didaftarkan di bawah Vital Spire dan mengesahkan amalan begitu dibenarkan.

Beliau juga bersetuju bahawa MalaysiaDigest menyiarkan berita yang tepat untuk memerangi berita palsu.

“Kami menghasilkan berita sama ada dari pihak kerajaan dan pembangkang dan melihatnya sebagai portal yang seimbang serta terpulang kepada rakyat untuk menilainya,” katanya. – MalaysiaGazette