Najib ziarah Jamal
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menziarahi Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri, Ampang. foto NIZAM ZAIN

AMPANG – Pihak berkuasa dan institusi kehakiman di negara ini sewajarnya memberikan hak dan keadilan kepada mana-mana pihak yang menghadapi pertuduhan sebelum diheret ke mahkamah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, tidak wajar sekiranya orang kena tuduh (OKT) dinafikan haknya untuk mendapatkan rawatan kesihatan sebelum meneruskan prosiding di mahkamah.

“Saya berharap pihak berkuasa tidak membuat sesuatu yang tidak menggambarkan keadilan ataupun the rule of law bahawa benar-benar sakit, tidak sewajarnya melalui proses keadilan di mahkamah ataupun diambil apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa.

“Ini amat penting sebab kita mesti menunjukkan bahawa setiap rakyat tak kira sama ada pembangkang atau anggota parti kerajaan semuanya mesti mendapat keadilan dalam negara kita,” katanya ketika menziarahi Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, di sini, hari ini.

Terdahulu, Jamal dimasukkan ke hospital berkenaan hari ini selepas dikesan menghidapi demam campak sejak Isnin lalu.

Susulan itu, beliau memaklumkan tidak dapat hadir ke Mahkamah Majistret Ampang Jaya hari ini untuk mendengar perbicaraan salah satu daripada kes yang dihadapi sejak tahun lepas.

Bagaimanapun kegagalan Jamal menghadirkan diri ke Mahkamah Majistret Ampang Jaya hari ini menyebabkan beliau dikenakan waran stangkap kira-kira jam 5 petang tadi.

Najib juga mengesahkan bahawa pemimpin UMNO Selangor itu benar-benar menghidapi demam campak selepas mendapati badannya dipenuhi dengan bintik-bintik merah.

“Saya dapat mengesahkan bahawa Datuk Jamal menghidap demam campak (chicken pox) pada peringkat awal dan saya lihat bintik-bintik di belakangnya telah pun timbul dan memang ada MC (cuti sakit) yang sahih daripada hospital kerajaan,” katanya.

Najib turut menegaskan, tidak sewajarnya mana-mana pihak mempersoalkan tahap kesihatan Jamal yang telah menjalani saringan kesihatan oleh Klinik Kesihatan Ampang milik kerajaan.

“Oleh itu tidak ada sesiapa patut menyangkal bahawa Datuk Jamal perlu dirawati di hospital untuk tempoh waktu tertentu, barulah orang akan menghormati sistem yang wujud dalam negara kita.

“Saya mendoakan Datuk Jamal akan sembuh dalam sikit masa lagi dan dia diberikan pertimbangan perikemanusiaan yang sewajarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/24/polis-keluar-waran-tangkap-jamal-di-hospital/