H. Puvaniten

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Pendidikan bahawa kenaikan bilangan kemasukan ke Program Matrikulasi adalah kurang menyakinkan, malah mengelirukan tanpa mengkaji kesannya.

Kenyataan oleh Dr Maszlee Malik itu lebih kepada pendekatan ‘menyelamatkan keadaan semasa’ dan bukan jalan penyelesaian yang muktamad.

Malah, Menteri Pendidikan itu masih gagal menjawab berhubung status pelajar-pelajar cemerlang yang terkandas di dalam proses pengambilan ke Program Matrikulasi, kata Ketua Biro Perpaduan Kebangsaan Gerakan, H. Puvaniten.

“Maszlee tidak menjawab status pelajar-pelajar. Jangan jadikan golongan ini sebagai mangsa keadaan kerana kerajaan berubah dan polisi mengikut kerajaan baharu berubah.

“Ramai di luar sana yang mempunyai 10A dan 9A tetapi terpinggir daripada pengambilan ini. Soal terpinggir ini bukan setakat pelajar cemerlang sahaja, malah pelajar cemerlang B40 juga ada yang terpinggir. Apa yang kami minta ialah bukti rekod kemasukan pelajar kali ini? Berapa orang pelajar di bawah B40 dan di atas telah diambil?

“Belum sempat menjawab persoalan ini, Maszlee sudah memberikan perancangan menaikan kemasukan kepada 40,000 dengan nisbah 90:10. Status pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang masih tersadai. Dengan alasan berbincang berhubung bajet dan soal kapasiti menampung pelajar 40,000.

“Bila semua urusan ini boleh dibuat? Berapa cepat boleh dibuat? Matrikulasi pun sudah bermula. Jangan cuba gula-gulakan kami seperti isu PTPTN. Janji berbagai rupa selepas itu banyak kali U-turn. Satu soal pelajar cemerlang tersadai dan kedua, alasan untuk berbincang di sana sini yang akan mengambil masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Puvaniten mendakwa kenyataan Maszlee tidak memikir masa hadapan pelajar STPM, dan diploma.

Soal beliau, sekiranya kemasukkan pelajar matrikulasi naik, bagaimana dengan kemasukan ke IPTA nanti.

“Akan berlaku satu keadaan ledakan di mana pelajar-pelajar matrikulasi akan bersaingan dengan keluaran STPM dan diploma nanti. Adakah kemasukan ke IPTA akan dinaikan juga? Kita tidak mahu apa yang sudah berlalu di proses matrikulasi ini akan berlaku pada pelajar-pelajar STPM dan diploma di masa hadapan yang gagal mendapat tempat,” tegasnya.

Puvaniten berkata, polisi pendidikan yang berunsurkan sistem kuota dan yang terbaharu keutamaan kepada golongan bawah B40 perlu dirombak semula.

Isu pendidikan adalah isu nasional, justeru semua pelajar-pelajar cemerlang harus diberikan keutamaan dan perlu wujud persaingan yang sihat berdasarkan merit di sini.

“Kita tidak mahu kehilangan mutiara yang mana terus berhijrah ke luar negara dan bermaustatin di luar negara. Kalau begitu negara kita akan kehilangan semua bakat-bakat cemerlang ini dari peringkat akar umbi sekali. Jangan wujudkan suasana pendidikan yang ‘tidak mengalakkan’ di Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/24/kekalkan-kuota-9010-dan-tambah-pengambilan-matrikulasi/