Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

SEMENYIH – Kementerian Kesihatan menolak dakwaan ramai bahawa lanjutan tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di tempat-tempat makan sehingga Disember depan adalah u-turn daripada kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, lanjutan itu adalah bagi memastikan rakyat memahami sepenuhnya larangan itu.

Malah katanya, tempoh itu diperlukan kerana Sabah dan Sarawak baru sahaja melaksana larangan sama pada Mac lalu.

“Lanjutan ini adalah untuk mengizinkan dan bukan satu u-turn sebagaimana yang didakwa. Apa yang kita lakukan adalah terus mengangkat lagi sebab di luar negara hampir sepuluh tahun.

“Yang penting adalah perubahan tingkah laku dan sikap itu dan perkara ini bukan datang daripada undang-undang yang kita laksanakan tetapi penghayatan dan kesedaran daripada perokok sendiri.

“Paling penting mereka tidak edarkan asap rokok kepada golongan tadi,” katanya selepas merasmikan Karnival Sihat Selangor berkonsepkan Insan Sejahtera, Kedamaian Jiwa di Setia EcoHill 2, hari ini.

Semalam, Dzulkefly dalam satu kenyataan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu terdiri daripada 10 kementerian dan satu wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan yang telah dipengerusikannya pada 16 April lalu, bersetuju dengan cadangan pelanjutan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan.

Peraturan larangan merokok telah dilaksanakan di seluruh negara berkuatkuasa 1 Januari tahun ini.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara manakala pemilik premis yang membenarkan pelanggan merokok boleh didenda RM2,500.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, ekoran pelaksanaan larangan itu, program mQuit terus mendapat sambutan yang hangat daripada perokok tegar.

“Kita menganjurkan program berhenti merokok mQuit di klinik kesihatan dan hari ini kita telah mendapat 528 sudah berdaftar dengan program kami untuk empat bulan pertama tahun ini.

“Bayangkan pada 2018 hanya 480 peserta tapi empat bulan pertama tahun ini mencatat peningkatan 528,” katanya lagi.

Perkhidmatan berhenti merokok itu ditawarkan di 731 klinik kesihatan, 46 hospital kerajaan dan 164 fasiliti swasta yang diberikan akreditasi untuk menjalankan program berhenti merokok. – MalaysiaGazette