Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas menjelaskan keputusannya menasihati kerajaan meratifikasi Statut Rom kerana Kabinet sebelum ini telah bersetuju dengan perjanjian itu pada 2011.

Namun Tommy berkata, Kabinet yang dipimpin oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu tidak pernah meratifikasikannya.

Jelas beliau, apa dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum Malaysia menarik diri pada 5 Mac lalu hanyalah meneruskan keputusan terdahulu.

“Golongan pengkritik pada hari ini pernah menyokong keputusan yang sama pada hari ini.

“Bagaimana pihak berkenaan membantah Statut Rom dan menyebarkan berita palsu.

“Mereka mengelirukan masyarakat dengan menyatakan ia akan mengugat kedudukan Raja-raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya di sini hari ini.

Selain Tommy sebagai panel, forum itu turut menampilkan anggota G25 Datuk Noor Farida Ariffin, pakar perlembagaan undang-undang Professor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan peguam Lim Wei Jiet serta ahli politik veteran, Dr Syed Husin Ali.

Penganjur forum merupakan aktivis pelajar Asheeq Ali Sethi Alivi.

Tommy turut menegaskan kedudukan Yang Di Pertuan Agong sebagai raja berpelembagaan yang bertindak atas nasihat perdana menteri kecuali atas perkara yang terkandung dalam Statut Rom.

Tegasnya, walaupun Agong merupakan panglima tertinggi angkatan tentera, keputusan untuk berperang adalah di bawah kuasa perdana menteri, menteri pertahanan dan Kabinet.

Beliau turut memberi situasi yang berlaku di United Kingdom pada suatu masa lalu apabila Perdana Menteri, Tony Blair mengarahkan negara itu melakukan pencerobohan haram di Iraq pada 2003.

“Pada masa itu, tidak ada mana-mana pihak menyalah Ratu Elizabeth sebagai raja berpelembagaan dan ketua angkatan tentera yang perlu untuk dibawa ke mahkamah atas jenayah perang,” katanya. – MalaysiaGazette