PUTRAJAYA – Majikan diminta memberi peluang pekerjaan kepada bekas banduan agar golongan itu juga mendapat memulakan hidup baharu.
Ia juga diharap dapat membendung golongan itu tidak kembali semula melakukan kegiatan jenayah semula.
Menurut Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran, peluang itu juga sekaligus dapat mengurangkan masalah kekurangan pekerjaan di negara ini pada masa kini yang kini berada pada tahap 3.3 peratus.
“Pada satu masa, kita semua pernah melakukan kesalahan malah ada golongan yang mungkin pernah melakukan kesalahan atau kesilapan yang disengajakan atau tidak tetapi kita perlu beri peluang kepada mereka sebenarnya.
“Para majikan perlu memberi peluang kepada golongan ini, ada juga beberapa kementerian sudah mengambil langkah dengan memberikan inisiatif serta ganjaran kepada mana-mana majikan yang sanggup mengambil bekas banduan bekerja untuk mereka. Sesuatu yang digalakkan sebenarnya.
“Kita juga kekurangan pekerja di negara ini, kadar pengangguran kita kini adalah 3.3 peratus. Jadi golongan ini yang tidak mempunyai pekerjaan kerana tidak mahu digajikan oleh sesiapa perlu di ambil perhatian.
“Kita mahu majikan beri peluang jika tidak mereka akan kembali ke jalan yang salah sekali lagi kerana tiada pilihan.
“Bantulah mereka juga, bantu kita semua. Mereka perlu di bantu, kadar pengangguran juga perlu dikurangkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan Dan Kesihatan di Tempat Kerja 2019 di Dataran Putrajaya hari ini.
Sambutan itu yang mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bertujuan untuk mempromosi keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerja dapat di capai.
Oktober tahun lepas, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengambil tiga bekas banduan untuk bekerja di pejabatnya sebagai usaha memberikan mereka peluang kerjaya.
Tindakan itu sebagai contoh kepada syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut memberikan peluang kedua kepada mana-mana bekas penghuni penjara untuk meneruskan kehidupan sebaik dibebaskan.
Syed Saddiq berkata, kerajaan seharusnya menjadi contoh kepada semua pihak terutama masyarakat dan syarikat swasta untuk memberi peluang kedua kepada bekas penghuni penjara.
Kula Segaran menambah, pihaknya juga memberikan tawaran program latihan dan persijilan yang diiktiraf seperti bidang Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional (TVET) sebelum memulakan pekerjaan mereka. –MalaysiaGazette