KAHERAH  – Ketua Perintah Pusat Amerika Syarikat (AS),  Jeneral Kenneth McKenzie menyatakan kesediaan negara itu untuk menghantar sumber tambahan bagi menangani sebarang ancaman bahaya oleh Iran, lapor Sky News Arabia.

“Kami akan terus berhubung dengan rakan-rakan kongsi dan sahabat-sahabat kami di rantau itu bagi memastikan kita boleh menghadapi sebarang ancaman daripada Iran.

“Saya percaya kita mempunyai sumber yang diperlukan untuk mengekang Iran daripada membuat sebarang langkah merbahaya”, katanya semasa lawatan rasmi di rantau Teluk.

Ketegangan di antara Tehran dan Washington semakin meningkat sejak pentadbiran Donald Trump menarik balik perjanjian nuklear antarabangsa dengan Iran tahun lepas dan seterusnya mengetatkan sekatan.

Awal bulan ini, AS meletakkan pasukan tentera elit Iran, Revolutionary Guards dalam senarai hitam.

Isnin lalu, Washington meminta semua pembeli minyak Iran menghentikan pembelian mereka menjelang Mei atau terpaksa berhadapan dengan sekatan.

Presiden Iran, Hassan Rouhani dan beberapa komander kanan tentera telah mengancam untuk menghalang penghantaran minyak dari negara-negara Teluk sekiranya Washington cuma menjejaskan eksport minyak Tehran.

Tambah McKenzie, pengurangan askar AS di Syiria juga akan dilakukan dengan berhati-hati.

“Dalam jangka panjang, kami akan mengurangkan pasukan ketenteraan di Syria, kami maklum mengenai perkara ini dan ia merupakan garis panduan yang diberikan di dalam operasi kami.

“Ia merupakan sesuatu yang kami perlu lakukan dengan teliti,” katanya.

Disember lalu, Presiden Trump telah mengarahkan tentera AS keluar dari Syria selepas mereka dikatakan telah berjaya melumpuhkan operasi pengganas IS di negara tersebut.

Bagaimanapun pada Februari lalu, seorang pegawai kanan pentadbiran AS berkata, negara tersebut akan meninggalkan kira-kira 400 askar yang akan dibahagikan kepada dua wilayah di Syria.

Dalam pada itu, McKenzie turut menyatakan keyakinan yang AS akan “berada lebih lama di Iraq dan memberi fokus kepada misi membenteras keganasan.- MalaysiaGazette