Jaami pernah dipanggil mewakili skuad Bawah 15 tahun (B-15) England.

KUALA LUMPUR – Seorang lagi pemain berdarah kacukan Malaysia mempunyai prospek mungkin boleh dipujuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mewakili skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Pemain itu adalah Jaami Qureshi yang ketika ini beraksi sebagai penyerang skuad Bawah 16 tahun (B-16) Brighton yang mana dia memiliki pertalian darah dengan rakyat Malaysia menerusi sebelah ibunya.

Ibu kepada pemain muda yang turut memiliki darah campuran Arab dan Wales itu berasal daripada Manjoi, Perak dan situasi ini sudah cukup untuk melayakkan pemain berusia 14 tahun itu untuk beraksi bersama skuad kebangsaan sebagai pemain berdarah campuran.

Jaami yang pernah dipanggil mewakili skuad Bawah 15 tahun (B-15) England n akan pulang ke Malaysia pada Julai atau Ogos ini.

Media tempatan di London pernah menyenaraikan pemain itu sebagai antara prospek yang mungkin mewakili skuad kebangsaan England pada masa depan.

Sebagai rekod, anak bongsu daripada lima beradik itu memulakan karier di akademi Brentford seawal enam tahun sebelum dia beraksi bersama akademi Chelsea selama tiga tahun dan kemudiannya Fulham.

Brighton kemudian mengintai khidmatnya sebelum dia menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab itu bermula usia 12 hingga 14 tahun.

Potensi yang dimilikinya menyaksikan Brighton menyambung kontraknya selama empat tahun dan biasiswa  termasuklah kontrak profesional selama dua tahun bersama skuad utama bergantung pada prestasinya ketika berusia 17 tahun.

Malah, penyerang itu memiliki kelebihan atletik apabila selain bermain bola sepak, dia turut bermain ragbi dan bergelar atlet kebangsaan bagi acara pecut 100 meter (m) dan 200. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast