KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar US hari ini susulan aktiviti pengambilan untung sederhana, selepas mata wang tempatan ditutup sederhana tinggi minggu lepas, kata seorang peniaga.
Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1320/1350 berbanding dolar US daripada 4.1310/1340 pada penutupan Jumaat.
Peniaga itu berkata, pelabur tetap berhati-hati terhadap ketidaktentuan prospek ekonomi global minggu ini, dengan memberi tumpuan kepada mesyuarat dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan datang, rundingan Brexit dan beberapa data global yang akan dikeluarkan, termasuk inflasi teras dan gaji AS.
Pelabur, katanya, sedang menunggu keputusan peristiwa-peristiwa ini sebelum membuat sebarang pelan pelaburan minggu ini.
Sementara itu, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.
Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0349/0382 daripada 3.0306/0332 pada Jumaat dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.3452/3507 daripada 5.3302/3362.
Mata wang tempatan juga rendah berbanding yen kepada 3.6982/7019 daripada 3.6966/6997, dan meyusut berbanding euro kepada 4.6113/6163 daripada 4.6007/6044. – MalaysiaGazette