Datuk Seri Hisammuddin Tun Hussein.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2019

JOHOR BAHRU – Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk tidak akan melompat parti dan masih tetap setia terhadap UMNO.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang berterusan mahu memfitnahnya mahu melompat parti dan menyerahkan perkara itu kepada orang ramai untuk membuat penilaian sendiri.

Beliau berkata soalan berhubung khabar angin kononnya beliau akan melompat parti sudah diajukan kepadanya berulang kali.Namun hari ini, beliau kelihatan masih lagi memakai baju UMNO dan menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor.

“Saya sudah ditanya mengenainya (lompat parti) banyak kali dan sekarang apa yang kita nampak adalah orang yang tidak ditanya soalan itu yang sudah lompat, orang yang ditanya soalan itu tiap-tiap hari pula masih lagi setia memakai baju UMNO.

“Ia adalah cakap-cakap daripada pihak tertentu yang mungkin ada kepentingan peribadi atau mempunyai matlamat hendak melaga-lagakan pemimpin, tetapi kita jawab bukan dengan kenyataan tetapi dengan tindak tanduk kita sendiri,” katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata walaupun bukan sempurna, namun, pendirian beliau tetap konsisten dari dahulu lagi untuk tidak meninggalkan UMNO dan berpandangan beliau masih relevan di dalam politik apabila orang ramai masih lagi memperkatakan mengenai dirinya.

“Jadi, sekali lagi saya hendak ulang, saya tidak akan ke mana-mana dan tetap akan bersama-sama UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.– BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast