Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) diiringi Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Ahmad Zailan Azizuddin (kanan) dan Pengarah NAPIC, Md Badrul Hisham Awang (kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2018 di Institut Penilaian Negara INSPEN, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Jurang pernilaian hartanah yang dibuat oleh Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH) dan syarikat swasta perlu dirapatkan bagi memberi keyakinan kepada pembeli.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perbincangan di antara JPPH dengan syarikat pernilaian hartanah swasta perlu diadakan dengan lebih kerap.

“Mengapa ada jurang di antara JPPH dengan syarikat swasta?

“Ada yang cakap kerana JPPH adalah agensi kerajaan maka syarikat swasta adalah syarikat swasta tetapi mereka juga ada kepakaran dan mereka perlu berkhidmat untuk pelanggan mereka.

“Saya percaya kita perlu ada satu kaedah atau prosedur standard operasi yang telus supaya kita boleh memastikan nilai yang diberikan tidak jauh berbeza.

“Kita tengok apabila ada perbezaan yang sangat jauh, pastinya ada pertikaian contohnya dalam kes-kes pengambilan tanah, bila sampai di mahkamah, pernilaian yang diberikan oleh JPPH adalah berbeza dengan syarikat swasta.

“Saya percaya di negara lain juga mengalami isu yang sama tetapi perbezaan pernilaiannya tidaklah sampai 50 peratus,” katanya semasa berucap merasmikan Laporan Pasaran Harta di sini hari ini.

Guan Eng turut mencadangkan supaya kaedah pernilaian lain boleh dipertimbangkan bagi menyelesaikan isu tersebut antaranya kaedah kos ditolak penyusutan.

Ketika ditanyakan kepada Ketua Pengarah JPPH, Surveyor Ahmad Zailan Azizuddin mengenai kaedah tersebut, ianya merupakan kaedah yang tidak praktikal kecuali untuk projek perumahan mampu milik dan kerajaan perlu campur tangan di dalam menyediakan dasar-dasar memastikan ketelusan pemaju mendedahkan kos sebenar mereka.

“Di Malaysia kita biasanya menggunakan kaedah perbandingan atau kaedah pasaran.

“Apa yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan sebenarnya di dalam profesion ini (jurunilai hartanah), kaedah kos merupakan pilihan terakhir kerana kos tidak semestinya sama dengan nilai.

“Ini sesuatu yang teknikal tetapi dari segi perspektif orang awam pun, kos dan nilai adalah dua perkara yang berbeza kerana kos mungkin tinggi tetapi nilai hartanah tersebut mungkin lebih rendah.

“Jika mahu melakukan pernilaian hartanah, kita perlu melihat kepada transaksi dan tarikan pasaran kerana itulah hakikatnya.

“Jika mahu membuat pernilaian dari segi kos, kita perlu tahu setiap komponen kos tersebut, berapa kos bahan-bahan yang digunakan. Semuanya kena telus dan hari ini kita lihat, pemaju tidak telus.

“Jika mereka tidak mendedahkan kos dengan telus, bagaimana kita hendak membuat pernilaian kerana kita hanya boleh membuat anggaran tetapi pemaju juga sering merungut kos itu dan ini sangat tinggi,” katanya semasa sidang media selepas majlis tersebut.

Tambah Ahmad Zailan, bagi memastikan ketelusan di dalam mendapatkan maklumat sebenar kos pembinaan daripada pemaju, kerajaan perlu memainkan peranan yang sangat penting terutama di dalam membuat dasar yang tegas dan keupayaan untuk meminta pemaju menunaikan tanggungjawab mereka.

Dalam pada itu, ketika menjawab mengapa ada perbezaan pernilaian di antara JPPH dan syarikat swasta seperti yang dinyatakan Guan Eng, Ahmad Zailan berkata, ia mungkin hasil daripada perbezaan pendapat dan pendekataan.

Menyifatkan pernilaian hartanah adalah gabungan di antara seni dan sains, JPPH katanya, sentiasa mengikut standard yang telah ditetapkan bagi mendapatkan pernilaian yang adil.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast