Dr. Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menggunakan platform UMNO setiap kali beliau turun padang ketika dirinya sedang berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

Sehubungan itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zarkashi membidas bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tidak berpuas hati dengan aktiviti Najib kebelakangan ini.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri itu dalam hantaran menerusi akaun Facebooknya pada 9 Ogos lalu, sudah menjelaskan UMNO tidak perlu mempertahankan atau membela dirinya.

“Maka apa perlunya Khairy Jamaluddin (KJ) memainkan lagi isu tersebut di Bicara Sinar Harian semalam? Apakah ada bukti UMNO mahu membela Najib?

“Ternyata KJ seperti tertekan dengan populariti Najib. Semua itu berlaku secara spontan, tidak dipaksa dan tidak berlakon. Kalau ada ahli UMNO dan anak muda mahu membela Najib itu hak mereka, bukan dipaksa.

“Ini berbeza dengan pendekatan “populis” KJ. Nampak sangat lakonannya. Sebab itu ia tidak bertahan lama seperti memakai stokin merah,” katanya dalam kenyataan balas terhadap Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu dalam program mingguan akhbar kompak berkenaan menyatakan, beliau tidak ada masalah dengan fenomena “Bossku” yang dicetuskan Najib.

Ketika ini, ujarnya, ketika Najib dipalit skandal dan pelbagai pertuduhan pecah amanah, bekas Presiden UMNO itu berusaha turun padang bertemu rakyat membawa jenama “Bossku” dalam usaha memulihkan imejnya.

“Najib berhak mempertahankan dirinya, tetapi tidak harus terlalu berusaha untuk menegakkan benang yang basah,” kata Khairy.

Mengulas lanjut, Mohd Puad memberitahu, UMNO tidak perlu mempertahankan diri Najib kerana beliau berupaya mempertahankan diri sendiri dalam melalui cabaran sekarang.

Kata beliau, segala tuduhan dan fitnah adalah terhadap dirinya, bukan UMNO, justeru, tidak adil untuk parti menanggung beban.

“UMNO tidak perlu mempertahankan saya terhadap fitnah yang dilemparkan ini. Melalui perbicaraan yang adil, saya yakin dapat mempertahankan diri saya,” tulis Najib menerusi hantaran Facebooknya.

Kata Mohd Puad, betapa merendah diri dan tabahnya Najib, yang bersedia menghadapi perbicaraan bukannya menegakkan benang basah seperti dakwaan KJ.

Sebab tegas beliau, Najib kembali disenangi dan popular, bahkan dianggap sebagai ancaman kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Itu sebabnya ke mana sahaja Najib pergi banyak sangat halangannya. Dia diganggu dengan pelbagai aduan polis oleh penyokong Pakatan Harapan seperti program Santai di Sungai Petani baru-baru ini.

“Tetapi. apakah itu berlaku kepada KJ jika dia berceramah ke mana-mana? Sepatutnya KJ jadi daya penarik sokongan anak muda kepada UMNO. Itu tidak berlaku.

“KJ sepatutnya tidak perlu buat kenyataan “unnecessary” sehingga dia dilihat kehilangan fokus, tiada daya tarikan, tidak konsisten dan mementingkan diri sendiri,” katanya.

Beliau mahu Khairy belajar semangat berjamaah supaya ahli UMNO tidak akan lupa tindakan beliau tidak keluar Dewan Rakyat ketika pembangkang membantah pelantikan Yang DiPertua Dewan Rakyat pada 15 Julai lalu.

Kata Mohd Puad, lima komponan Barisan Nasional (BN) termasuk Pas keluar dewan kerana membantah pelantikan Speaker yang dianggap melanggar peraturan Dewan Rakyat.

“KJ pula melanggar prinsip berjamaah semata-mata mencari punca untuk kembali populis.

“Politik populis sudah lama tidak relevan di Malaysia. Politik sekarang ialah politik akar umbi. Kerajasama UMNO-Pas yang tidak diminati KJ membuahkan hasil kerana ia politik akar umbi.

“Sebenarnya KJ yang tidak perlu menegakkan benang yang basah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast