SANDAKAN – Setiausaha Publisiti DAP Sabah Phoong Jin Zhe menuntut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang mengkritik DAP menerusi Facebooknya, semalam.
Beliau berkata tindakan Najib yang mendakwa ceramah DAP menggunakan aset Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan adalah tidak berasas.
Katanya DAP telah membuat permohonan untuk menyewa kerusi berkenaan daripada pihak MPS dengan bayaran RM700, dan ia juga telah mengikut mengikut segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
“Ini saya tunjukkan surat kelulusan MPS bertarikh 29 April yang menyatakan permohonan untuk menyewa peralatan MPS adalah dibenarkan dan dikenakan bayaran yang ditetapkan,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.
Phoong berkata sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman, Najib tahu setiap peraturan yang ditetapkan.
Kempen PRK Sandakan bermula secara rasmi pada 29 April lepas sehingga 10 Mei jam 11.59 malam sebelum hari pengundian pada 11 Mei ini.
— BERNAMA