Bung Moktar
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad selepas hadir untuk didakwa atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur.foto NOOREEZA HASHIM, 03 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan memperoleh rasuah serta bersubahat membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta berhubung Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra) empat tahun lalu.

Bung Moktar membuat pengakuan itu selepas tiga tuduhan terbabit dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob ketika Zizie Ezzete, 41, mendengar pertuduhan yang sama di mahkamah bersebelahan di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Pasangan suami isteri itu menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Mahkamah kemudian membenarkan Bung Moktar dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan beliau turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim Rozina turut menetapkan sebutan kes pada 10 Jun ini.

Sementara itu, Zizie Ezzete, yang dituduh kerana bersubahat menerusi pertuduhan berkenaan turut dibenar diikat jamin dengan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Azura turut meminta supaya Zizie Ezette menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Terdahulu, Bung Moktar dan Zizie Ezette tiba di mahkamah pukul 7.55 pagi dengan menaiki kereta jenis Toyota Alphard berwarna hitam.

Bung Moktar hadir dengan mengenakan suit berwarna hitam, sama seperti isterinya yang turut memakai suit warna hitam.

Rabu lalu, Bung Moktar dan Zizie dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung satu kes mengikut Akta SPRM 2009.

Beliau disoal siasat selama lima jam dipercayai berkaitan beberapa unit pelaburan amanah yang dibuat agensi terbabit.

Bung Moktar kemudianya ditahan pada jam 10.50 pagi di SPRM Sabah manakala Zizie, yang juga seorang pelakon ditahan, di SPRM Putrajaya pada jam 11.15 pagi pada hari berkenaan.

Kedua-dua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Bung Moktar dilantik sebagai pengerusi Felcra pada Julai 2013 dan meletak jawatan pada 1 Jun 2018 susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast