Ekuinas
Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir.

KUALA LUMPUR –  Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) menyatakan ia bersedia untuk membeli pegangan dalam anak syarikat milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah dikenal pasti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, perbincangan peringkat tinggi telah diadakan dengan syarikat yang dikenal pasti, walaupun keputusan itu bergantung kepada masa depan syarikat-syarikat tersebut.

“Kami telah bersedia tetapi ia juga bergantung kepada syarikat-syarikat itu, apa yang mereka sasarkan pada masa hadapan. Bagi Ekuinas, kami masih belum menggunakan dana Tranche IV Ekuinas dan kami bersedia untuk membelanjakan antara RM30 juta dan RM300 juta bagi setiap syarikat,” katanya selepas taklimat media mengenai keputusan kewangan 2018 syarikat itu, di sini, hari ini.

Terdahulu awal tahun ini, Ekuinas melancarkan Dana Ekuinas Direct (Tranche IV) (Dana IV) RM1 bilion – dengan pilihan untuk ditingkatkan kepada RM1.5 bilion.

Ekuinas melepaskan tiga perniagaan tahun lepas dengan hasil kasar dijana sebanyak RM114.9 juta, mencapai pulangan kadar dalaman 26.9 peratus.

Awal tahun ini, firma ekuiti yang disokong kerajaan itu mengembangkan portfolio pelaburannya dan membuat dua pelaburan baharu dan tiga pelaburan susulan dengan jumlah modal RM311.5 juta.

Ini menjadikan jumlah pelaburan terkumpul dalam 41 syarikat kepada 3.9 bilion, yang bersama-sama dengan modal persendirian, memudahkan penggunaan modal sebanyak RM4.6 bilion.

Mengenai hala tuju pelaburan dana ekuiti tahun ini, Syed Yasir berkata ia akan terus melabur dalam syarikat berkaitan pengguna serta teknologi.

“Kami menyasarkan pada ekonomi pantas berkembang dan pelaburan dalam bahagian teknologi tidak dapat dielakkan, tetapi kami mengehadkan pelaburan kami hanya kepada antara 10 hingga 15 peratus daripada saiz dana,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Ekuinas tidak akan melabur sejumlah yang besar dalam bahagian teknologi dan tumpuan adalah terhadap syarikat dengan pendapatan bersih yang stabil.

Syed Yasir berkata kerajaan telah menyuntik sebanyak RM3.95 bilion ke dalam Ekuinas sejak ia ditubuhkan pada 2009.

Ekuinas dijadual menerima RM5 bilion daripada kerajaan pada kadar kira-kira RM600 juta setahun.

Komitmen kerajaan dijangka berakhir selepas syarikat itu membuktikan ia boleh menjadi entiti dibiayai sendiri.

“Kami telahpun menerima RM3.95 bilion, tetapi ingin saya katakan bahawa saiz dana kami telahpun mencukupi dengan RM2.75 bilion tunai dalam tangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusinya Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata syarikat itu juga meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera kepada RM5 bilion, yang merupakan 1.5 kali modal dilaburkan, sejajar dengan visi Ekuinas untuk mewujudkan kekayaan dan penyertaan Bumiputera yang mampan.

“Pencapaian ini juga membawa kepada pewujudan RM6.6 bilion nilai ekonomi bagi semua pemegang saham, mewakili 2.0 kali modal dilabur,” katanya. – MalaysiaGazette