Bangunan Tabung Haji. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini, dalam kenyataan dikeluarkan, menyangkal dakwaan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kononnya umat Islam kini telah hilang kuota tambahan haji.

“Dakwaan itu bukan sahaja mengelirukan, malah tidak benar sama sekali,” tegas kenyataan TH kepada media hari ini.

Semalam, Dr. Asyraf mendakwa, umat Islam kehilangan kuota tambahan sebanyak 10,000 orang untuk menunaikan haji setiap tahun berikutan hubungan dingin antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan Arab Saudi.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN), Arab Saudi tidak pernah gagal memberikan keistimewaan itu kepada Malaysia.

Malah kata beliau, pada 2013 Arab Saudi bermurah hati memberikan kuota tambahan setengah kali ganda lagi iaitu sebanyak 15,000 orang.

Menurut kenyataan TH lagi, kuota rasmi yang diberikan Arab Saudi kepada Malaysia untuk tahun ini sebanyak 30,200 orang.

Bagaimanapun, bagi memendekkan waktu menunggu bakal haji, TH telah membuat permohonan kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah bagi musim haji tahun ini.

“Seperti kebiasaan, pemberian kuota tambahan ini bergantung atas budi bicara kerajaan Arab Saudi, dan sehingga kini, TH masih menunggu keputusan rasmi mengenai permohonan yang telah dibuat.

“Berdasarkan rekod 10 tahun kebelakangan ini, ada empat tahun iaitu 2013, 2014, 2015 dan 2016, di mana permohonan kuota tambahan yang dibuat oleh TH tidak diluluskan,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, TH menegaskan agar pihak dan individu berkaitan harus berhenti dari mensensasikan komen serta analisis tidak tepat yang berbaur politik kerana ia boleh mengelirukan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast