Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bersedia dikritik selepas beliau menggelarkan empat ahli akademik sebagai profesor kangkung.

Sambil menyifatkan kritikan itu sebahagian daripada kebebasan bersuara, beliau menyatakan, istilah profesor kangkung dicipta oleh Prof. Syed Hussein Al-Attas.

“Dalam Islam, ulamak menggunakan istilah seperti ‘ulamak buruk’ dan ‘liars’ untuk melabel orang yang melakukan kecurangan intelektual.

“Bagi saya, okey (dikritik),” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Saifuddin berkata, apa yang diperkatakan olehnya sebelum ini adalah mempertahankan hak empat ahli akademik untuk bersuara.

“Saya kritik penghujahan mereka. Mereka bebas berkarya, dan saya bebas kritik mereka. Itulah makna kebebasan akademik,” katanya.

Minggu lepas, dalam satu kenyataan, Saifuddin menghentam pihak yang cuba memanipulasi fakta berkaitan Statut Rom, termasuk ahli akademik ‘profesor kangkung’.

Empat ahli akademik yang membentangkan rumusan kepada Majlis Raja-Raja mengenai Statut Rom mengikut perlembagaan pada 2 April lalu ialah Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr. Rahmat Mohamad; Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz; Pensyarah Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi. – MalaysiaGazette