KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penaja Parti Anti Rasuah menggesa kerajaaan pusat dan negeri mengkaji semula pemberian tanah anugerah, kurnia dan penjualan harga rendah tanah milik negeri serta negara.
Presiden penaja, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, amalan pemberian tanah milik negeri dan negara yang dilaksanakan selama ini telah dijadikan lubuk oleh kelompok elit atau bangsawan untuk mencuri harta milik negeri dan negara.
Katanya, pemilikan tanah milik negeri dan negara adalah antara aset penting sesebuah ekonomi sama ada pada kadar semasa atau masa akan datang.
Malah ujar beliau, tanah itu adalah jaminan masa depan generasi mendatang.
“Malangnya di negara ini ia menjadi tempat pembahagian habuan dan laba politik golongan elit dan bangsawan dengan cara tidak telus, tidak adil kepada rakyat dan marhaen yang juga mempunyai hak terhadap harta itu.
“Kami menggesa, sudah sampai masanya kerajaan baharu ini mengorak langkah bersungguh-sungguh memperbetulkan kepincangan ini.
“Kami menjangkakan di era pentadbiran lalu berbilion ringgit nilai tanah milik negeri dan negara dianugerahkan kepada orang perseorangan melibatkan golongan elit politik, pembesar dan bangsawan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Beliau menjelaskan, pemberian itu sama ada dalam bentuk tanah anugerah, tanah kurnia atau dijual kepada mereka dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran.
Praktis itu, kata Mohamad Ezam, menjadikan kelulusan dan transaksi tanah milik negeri dan negara laluan paling pantas untuk mengaut habuan serta laba besar bagi individu terbabit.
“Ini bercanggah dengan prinsip ketelusan dan keadilan dalam menjaga harta milik negara dan awam ini.
“Bahkan, Islam sendiri melalui sirah Rasulullah SAW dalam pembahagian ghanimah (harta negara) termasuk dalam bentuk pemilikan tanah kediaman dan perladangan amat menitik beratkan soal keadilan kepada rakyat khususnya rakyat termiskin.
“Di Malaysia pula perkara sebaliknya berlaku. Harta milik negeri dan negara ini menjadi medan pemunggahan harta kelompok elit, pembesar dan bangsawan,” katanya.
Beliau berharap, praktis itu dihentikan dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dan pada masa sama siasatan menyeluruh perlu dibuat terhadap pemberian tanah milik negeri dan negara yang jelas menjadi medan mengutip laba segera.
Kata beliau, banyak tanah yang dilulus dan dikurniakan berpindah tangan dalam waktu singkat untuk keuntungan segera golongan yang dikurniakan tanah berkenaan.
“Pembelian yang mengikut harga pasaran dan kepada kelompok yang serius membangunkan hartanah tentunya tidak termasuk dalam kategori ini.
“Kami menggesa kerajaan negeri pula, mana nilaian tanah tinggi seperti di Selangor dan Johor mewujudkan task force bagi menyiasat kecurangan lalu dan menyediakan pelan baru yang adil kepada negeri, negara dan rakyat.
“Kerajaan pusat dan negeri yang baharu mesti berani dan bersungguh-sungguh melakukan perubahan demi rakyat dan memberi makna baru dalam kehidupan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette