BPW) Malaysia cawangan Putrajaya menganjurkan acara persembahan fesyen di Hotel The Pearl International baru-bari ini.

KUALA LUMPUR – Sesebuah perniagaan yang berjaya memerlukan jaringan hubungan yang meluas dengan pihak lain dan tidak hanya memberi fokus di dalam negara sahaja.

Maksudnya, jika usahawan itu memiliki rangkaian hingga ke luar negara, maka perniagaan mereka mampu berkembang dengan pantas.

Menerusi rakan niaga daripada pelbagai negara, mereka yang menceburi bidang perniagaa mempunyai kelebihan dan dapat berkongsi maklumat dan membantu antara satu sama lain.

Menyedari hal itu, Persatuan Wanita Profesional dan Perniagaan (BPW) Malaysia cawangan Putrajaya komited untuk merancang pelbagai usaha pembangunan usahawan wanita dengan melatih mereka mempelajari aspek perniagaan daripada permulaan sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Presidennya, Datuk Seri Rozaini Nawawi berkata, pihaknya juga sedia membantu golongan itu untuk meneroka peluang dan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malah sehingga ke luar negara.

Tegas beliau, menjadi adalah matlamat utama BPW untuk menyediakan platform pembangunan usahawan di bawah persatuan itu.

BPW FASHION SHOW25
Presiden Persatuan Wanita Profesional dan Perniagaan (BPW) Malaysia cawangan Putrajaya, Datuk Seri Rozaini Nawawi.

“Misi BPW adalah kesamaan rata di antara golongan wanita dan lelaki dalam bidang kuasa pembuat keputusan seperti mengambil tanggungjawab dalam aspek ekonomi, politik dan kemasyarakatan.

“Pada masa sama, BPW akan sentiada berfikir dan bertindak di peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa menerusi pembelajaran sepanjang hayat, melibatkan diri dalam jaringan perhubungan dan konsep mentor yang lebih berpengalaman.

“Selain itu, kami juga mahu membentuk sikap profesionalisme, perniagaan dan kepimpinan di kalangan wanita dengan menganjurkan pelbagai program kursus bagi memberi pendedahan kepada mereka,” katanya kepada media selepas menganjurkan acara persembahan fesyen anjuran BPW Putrajaya di Hotel The Pearl International di sini baru-baru ini.

BPW ditubuhkan oleh Dr. Lena Medesin Philips di Geneva, Switzerland pada tahun 1930 yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat dan mempunyai perwakilan tetap di dalam  United Nations Economic and Social Council (ECOSOC).

Tujuan ia ditubuhkan bagi memacu golongan wanita agar dapat bersaing dan maju dalam bidang perniagaan, ekonomi dan profesionali melalui jaringan perhubungan global.

BPW kini dianggotai oleh pelbagai golongan wanita sama ada pemimpin, usahawan, pemilik perniagaan, eksekutif, profesional dan wanita muda berkerjaya di lima 5 benua meliputi lebih 100 negara.

BPW FASHION SHOW14
Acara persembahan fesyen anjuran BPW Malaysia cawangan Putrajaya memberi peluang usahawan fesyen wanita mendapat pendedahan dalam dunia bisnes.

Di Malaysia, BPW ditubuhkan sejak lima tahun lalu dan cawangan Putrajaya diluluskan pada peringkat antarabangsa sempena persidangan di Bangkok, Thailand, pada Oktober lalu.

Selain Putrajaya yang memiliki 35 ahli, BPW turut memiliki cawangan memiliki dua cawangan lain iaitu Kuala Lumpur dan Damansara dengan jumlah keseluruhan melebihi 100 ahli.

Mengulas lanjut, Rozaini menambah, manfaat yang diperolehi ahli BPW amat berbaloi menerusi pembangunan kepimpinan menerusi penganjuran seminar dan mesyuarat.

Ujar beliau, apa yang lebih penting jaringan perhubungan dan keakraban global bersama ahli-ahli BPW di seluruh dunia.

“Penyertaaan dalam mesyuarat United Nation (UN) akan membolehkan ahli-ahli BPW mengikuti perkembangan isu dan melobi isu di peringkat nasional bagi pembangunan wanita di negara masing-masing.

“Malah sumber antarabangsa menerusi laman sesawang BPW menyediakan pelbagai informasi berkaitan program dan aktiviti di seluruh dunia,” katanya.

Rozaini memberitahu hubungan erat BPW dengan UN dijalinkan hasil jaringan perhubungan bersama dengan melaporkan pelaksanaan program dan aktiviti di negara-negara yang bertindak sebagai pakar dalam mesyuarat.

Bukan itu sahaja jelas beliau, BPW juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan di seluruh dunia bagi melaksanakan program berkaitan pembangunan kapasiti wanita dalam perniagaan dan kepimpinan. – MalaysiaGazette