Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap semasa sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengalu-alukan perhimpunan umat Islam yang bertujuan mempertahan kedaulatan Islam dan Perlembagaan.

Namun Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tujuan yang dilihat beliau tidak memcerminkan solidariti sebenar orang Islam.

“Saya tertanya-tanya sama ada benar tujuan mendaulat Islam atau bertujuan mendapat sokongan bagi parti-parti politik tertentu. Yang pertamanya yang memimpin dan berucap ialah pemimpin parti politik UMNO dan Pas dan akhbar melaporkan hasrat perhimpunan ialah untuk memperingati kerajaan akan kedudukan agama Islam.

“Jika ia bertujuan mendaulat Islam, sepatutnya ia tidak terhad kepada parti politik tertentu sahaja. Gandingan parti-parti ini tidak mencerminkan solidariti orang Islam. Bahkan ia mengasing dan memisah umat Islam di Malaysia,” katanya dalam blognya hari ini.

Mahathir merujuk kepada penyatuan antara Pas dan UMNO yang terjalin selepas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 lalu.

Tambah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, Pas sejak awal lagi mendakwa orang parti UMNO adalah kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir.

Katanya, dakwaan itu masih tidak ditarik balik kepimpinan utama Pas terhadap UMNO bahkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus memecahbelah orang Melayu.

“Sehingga sekarang, Pas tidak pernah batalkan dakwaan UMNO kafir mereka dan Amanat Hadi. Bagi Pas orang yang tidak sertai Pas adalah kafir. Mengikut Pas hanya ahli Pas sahaja Islam. Sudah tentu orang Islam yang mencari suaka di Negara bukan Islam sudah jadi kafir.

Bagaimanakah Pas bersama UMNO berhak mendakwa perhimpunan mereka menggambar solidariti orang Islam untuk kedaulatan Islam,” katanya lagi.

Mahathir membuat kenyataan itu merujuk kepada Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam yang diadakan pada 4 Mei lalu yang dihadiri kepimpinan kedua-dua parti. – MalaysiaGazette