KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar US dalam dagangan awal hari ini berikutan sentimen lemah yang berterusan disebabkan petunjuk luaran yang kurang menggalakkan, kata peniaga.
Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1520/1550 semasa ditutup pada Khamis berbanding dolar US.
Beliau berkata, sokongan kepada mata wang tempatan akan terus negatif berikutan pasaran lengang dengan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang sedang berlangsung di Washington.
“Peniaga kekal tidak memasuki pasaran untuk melihat hasil daripada rundingan itu,” katanya.
Rundingan tersebut, jika berjaya, akan mengelak satu lagi pusingan perang perdagangan antara kedua-dua negara itu dengan ancaman oleh Presiden AS Donald Trump untuk menaikkan tarif ke atas barangan China yang bernilai US$200 bilion kepada 25 peratus daripada 10 peratus pada masa ini hari ini.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan diniagakan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.7776/7814 daripada 3.7831/7862 pada Khamis, manakala tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.0447/0480 daripada 3.0447/0486.
Mata wang tempatan rendah berbanding pound British kepada 5.4009/4061 daripada 5.3984/4040 dan susut berbanding euro kepada 4.6627/6665 daripada 4.6482/6528. – MalaysiaGazette