Seorang pengunjung mencuba barangan kemas berikutan bermulanya 1 Jun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar seperti yang diumumkan kerajaan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Habib Jewels, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 01 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan yang sudah menerima dana dari Petronas telah mula membuat bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan kepada pembayar cukai-cukai tersebut sejak Januari lalu.

Untuk bayaran balik cukai pendapatan, sebanyak RM7.6 bilion telah dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sehingga 30 April 2019.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM5.2 bilion untuk 70,205 kes syarikat dan RM2.4 bilion bagi 1,186,288 kes lain.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, untuk bayaran balik cukai GST pula, sebanyak RM9.5 bilion telah dibayar balik kepada 76,002 pendaftar GST oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sehingga 30 April 2019.

Seperti yang diumumkan pada tahun lepas, tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan ini melibatkan sebanyak 121,429 pendaftar GST dan 1,653,786 kes, masing-masing membabitkan syarikat, individu, persatuan dan yayasan setakat 31 Mei 2018.

Menurutnya, pembayaran balik cukai-cukai ini menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan tidak menyelewengkan pulangan dividen daripada Petronas dan menunaikan janji memulangkan tunggakan pembayaran balik cukai kepada rakyat dan syarikat Malaysia.

Petronas membayar dividen khas sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan pada tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast