KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mencabar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan cubaan untuk mengetepikan notis pendakwaan yang mahu beliau mengisytiharkan asetnya didakwa hasil aktiviti wang haram.

Rosmah melalui peguam belanya, Rajivan Nambiar berhujah mengatakan dakwaan notis AMLA itu bertentangan dengan perlembagaan di bawah akta yang menyekat haknya untuk berdiam diri.

Mengikut peruntukan di bawah Seksyen 49 AMLA ia melanggar hak isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Sei Najib Razak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil serta keistimewaan untuk tidak menunjukkan dirinya bersalah yang dikenali sebagai ‘self-incrimination’.

Malah notis Seksyen 49 AMLA yang diberikan kepada Rosmah dianggap satu cubaan bagi mendapatkan maklumat daripada Rosmah melalui dengan kaedah penindasan tanpa langsung mengikut kehendaknya.

Dakwa Rajivan, kerajaan sedia ada cuba menyalahgunakan kuasa dengan ‘memaksa’ Rosmah menjawab atau mendedahkan perkara yang telah diperuntukan untuknya bagi berdiam diri dengan soalan-soalan yang dikemukakan oleh pasukan pendakwaan.

Jelas Rajivan lagi, sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 5 menyebut tanggapan tidak bersalah itu adalah hak asas di negara ini.

“Jelas sekali dengan memaksa anak guam saya sangat memudaratkan dan tidak adil langsung,” tegasnya.

Dalam pada itu, peguam pendakwa yang diketuai, Datuk Seri Gopal Sri Ram pula berpendapat tanggapan barisan pembelaan itu tidak betul dengan berkeyakinan Rosmah akan mendapat perbicaraan yang adil.

“AMLA adalah undang-undang digubal oleh Parlimen sendiri bagi tangani sebarang aktiviti pengubahan wang haram di negara ini. Ianya untuk mencari sebarang hartanah daripada aktiviti pengubahan wang haram yang disyaki.

“Notis AMLA dari pihak kami hanya merupakan prosedur penyiasatan sebelum perbicaraan itu dimulakan, tidak sekat hak Rosmah untuk dapatkan perbicaraan adil.

“Jadi ada baiknya yang memiliki hartanah untuk mendedahkan maklumat berhubung hartanah itu, itu sahaja,” tegasnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan kemudian memberitahu beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujah di kedua-dua belah pihak sebelum memuktamadkan keputusan beliau pada 24 Mei ini.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah yang diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Datuk K. Kumaraendran mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750.

Lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Jika sabit kesalahan, Rosmah berdepan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, beliau akan didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017.

Sepatutnya Rosmah perlu mengemukakan penyata kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan. – MalaysiaGazette