KUALA LUMPUR – Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor Kelas Kedua yang dikurniakan oleh Sultan Selangor kepada Datuk Seri Najib Razak digantung.

Penggantungan itu berkuatkuasa 6 Mei lalu.

Istana Selangor berkata, penggantungan itu berikutan Najib kini menghadapi beberapa pertuduhan kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.

Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, tindakan sama juga dikenakan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor yang dikurniakan SPMS Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

Isteri Najib itu juga didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan membabitkan kes rasuah, penggubahan wang haram dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Penggantungan itu sehingga kes perbicaraan dan rayuan membabitkan Najib dan Rosmah di mahkamah selesai.

“Penggantungan ini selaras dengan kuasa baginda di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Amin berkata, Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang dikurniakan kepada Zulkifli Shariff pula ditarik balik dan dibatalkan berkuatkuasa 6 Mei.

Zulkifli adalah bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah NGV Tech Sdn. Bhd.

Beliau telah diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi dan tidak layak dan sesuai untuk memegang darjah kebesaran itu.

Justeru, beliau dilarang menggunakan darjah kebesaran dan gelaran Dato’ dan mana-mana pihak turut ditegah daripada memanggil beliau dengan gelaran berkenaan kerana kurniaan itu telah ditarik balik dan batal. – MalaysiaGazette