KUALA LUMPUR – Pertubuhan Sahabat Erat Dan Amanat Rakyat Malaysia (Sedar) akan mengadakan Perhimpunan Apa Sudah Jadi pada 17 Ogos depan.

Perhimpunan tersebut adalah wakil suara rakyat marhaen yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) yang gagal membela kebajikan rakyat.

Presidennya, Nazrin Norani berkata, Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu menerima banyak aduan daripada golongan B40 yang hidup dalam kesempitan termasuklah keluhan daripada bekas kakitangan awam yang ditamatkan perkhidmatan selepas kerajaan PH mengambil tampuk pemerintahan.

“Di dalam kerakusan kempen Pakatan Harapan untuk memastikan naratif yang dibawa mereka selama ini terhadap Kerajaan Barisan Nasional adalah benar, mereka telah alpa, cuai dan memangsakan rakyat marhaen.

“Sejak suku kedua 2019, Pertubuhan Sahabat Erat Dan Amanat Rakyat Malaysia atau Sedar Malaysia telah menerima terlampau banyak panggilan daripada golongan B40 yang semakin tertekan dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin tidak terkawal.

“Sedar Malaysia juga semakin banyak menerima aduan daripada bekas kakitangan kerajaan yang telah ditamatkan perkhidmatan tanpa timbang rasa yang sehingga kini masih lagi tidak dapat mendapat pekerjaan yang baru atas beberapa faktor,” katanya menerusi kenyataan.

Sedar akan membuat permohonan untuk berhimpun daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam masa yang sama barisan pemimpin parti pembangkang turut dijemput untuk bersama-sama turun ke himpunan itu kelak. – MalaysiaGazette