Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong (kanan) berbual mesra dengan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan (kiri) dan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan ketika hadir pada Majlis Sambutan Ulangtahun UMNO ke 73 dan Majlis Berbuka Puasa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Parti Islam SeMalaysia (Pas) mengakui pertembungan politik antara parti itu dengan UMNO suatu ketika dahulu merupakan satu pengalaman silam supaya kedua-dua parti terbesar itu boleh bangkit semula.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pengalaman yang dilalui Pas dan UMNO bukan kerana faktor keegoaan, sebaliknya wujud kesilapan salah satu pihak.

“Saya akui pengalaman yang dilalui itu mungkin bukan kerana faktor keegoaan tetapi kerana faktor salah faham dan faktor mungkin ada kesilapan sebelah pihak dan sebagainya.

“Kita pun tahu bahawa dalam sejarah politik tanahair, antara Pas dan UMNO sering bertembung, bukan saja dalam pilihan raya bahkan juga di luar pilihan raya atas sentimen parti politik.

“Ia satu pengalaman yang boleh kira pelajari supaya kita boleh bangkit semula kerana kita melihat di atas perpecahan dan juga pergaduhan umat Islam, orang Melayu, dua parti terbesar ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Berbuka Puasa Sempena Ulangtahun UMNO ke-73, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa keegoaan politik antara parti Melayu itu dengan Pas menyebabkan Melayu bersengketa berabad lamanya.

Mohamad berkata, keegoaan politik itu menyebabkan orang Melayu dalam UMNO dan Pas berpecah hingga sanggup bersolat di masjid berasingan.

Nasrudin juga berkata, perpecahan umat Islam khususnya dalam UMNO dan Pas itu hanya menguntungkan musuh Islam khususnya pemimpin bukan Islam di negara ini.

“Yang gembiranya ialah musuh-musuh Islam, yang gembiranya ialah orang-orang yang tidak mahu melihat penyatuan umat Islam dalam negara kita.

“Ia menyebabkan pertembungan itu berlaku, krisis itu berlaku,” katanya.

Nasrudin turut berkata, perpecahan umat Islam itu juga sudah dimulakan oleh penjajah di negara ini dengan melakukan pengasingan penduduk mengikut kaum.

“Sejak zaman penjajah lagi, klasifikasi penduduk negara kita dibuat untuk memecahbelahkan Islam, bukan saja dari segi ideologi politik bahkan umat Islam boleh berpecah kerana faktor mazhab.

“Itu pengalaman silam yang boleh kita pelajari, jadi kita ambil satu iktibar untuk mengembalikan semula kemuliaan umat Islam dengan kita menginsafi supaya tidak lagi berlaku pertelagahan, percakaran nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette