KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan selepas polis menemui lima peket plastik lutsinar dipercayai syabu.

Kedua-dua suspek berusia 20 dan 32 tahun itu ditahan di Pasar Serian, Sarawak, kelmarin.

Dalam satu kenyataan Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Ani berkata, kedua-dua lelaki terbabit yang berasal dari Kota Samarahan ditangkap kira-kira pukul 4 petang selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

“Kedua-dua lelaki terbabit ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di kaki lima sebuah kedai di pasar tersebut.

“Semasa pemeriksaan tubuh, polis menjumpai dadah disyaki syabu jenis methamphetamine yang disimpan dalam sekotak rokok di poket seluar seorang daripada suspek.

“Di dalam kotak rokok itu, suspek menyimpan lima peket plastik lutsinar yang semuanya berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan itu.

Aswandy berkata, dadah yang dirampas itu dianggarkan seberat 5.68 gram dengan nilai pasaran RM800.

Ujarnya, kedua-dua suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian dan ditahan di lokap IPD Serian untuk siasatan lanjut.

“Kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan kepada penagih-penagih di Serian,” ujarnya.

Bagaimanapun Aswandy berkata, ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast